SELEPAS hampir lima tahun perbicaraan, pihak pendakwaan menutup kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama Pulau Pinang membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 13 Januari depan untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis, manakala hujahan lisan akan didengar pada 26 dan 27 Januari.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan penutupan kes pendakwaan kepada Hakim Azura Alwi selepas saksi terakhir pihak pendakwaan selesai memberi keterangan.
Beliau turut menawarkan Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Rajendran P Anthony sebagai saksi kepada pihak pembelaan sekiranya Guan Eng diperintahkan membela diri.
Rajendran sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang ketika projek berkenaan dicadangkan pada 2011. Beliau juga terbabit dalam perbincangan awal dengan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd berkaitan penyediaan dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) projek itu.
“Alhamdulillah, pertama kali kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan (Hakim) kerana sabar mendengar kes ini selama lima, enam tahun.
“Jadi saya dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan Datuk Rajendran kepada pihak pembelaan sekiranya pembelaan dipanggil,” kata Wan Shaharuddin kepada media hari ini, lapor BH.
Perbicaraan kes itu bermula pada 13 Julai 2021 dengan 38 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang 110 hari prosiding.
Antara saksi utama ialah bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang mula memberi keterangan pada 17 Disember 2021.
Saksi lain termasuk bekas Exco Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus; bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja serta pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli.
Kes itu turut mendapat perhatian umum berikutan beberapa perkembangan sepanjang perbicaraan, termasuk kematian bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng, yang ditemukan maut selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober 2021.
Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa Swee Kheng sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-15 pada 29 November tahun sama, namun meninggal dunia kira-kira sebulan lebih awal. Sijil kematiannya dikemukakan pihak pendakwaan melalui keterangan Penolong Penguasa SPRM, Syed Muhammad Fadzli Syed Hussin.
Gnanaraja pula pernah dilaporkan diserang perompak bersenjata di kediamannya di Petaling Jaya dan memohon perlindungan polis kerana bimbang akan keselamatannya.
Dalam kes berkenaan, Guan Eng, 65, didakwa menggunakan kedudukannya ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk memperoleh suapan berjumlah RM3.3 juta bagi dirinya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702, antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.





