Dua kes seludup kokain ke Hong Kong dipercayai didalangi sindiket sama

POLIS percaya dua kes penyeludupan kokain dari Pulau Pinang ke Hong Kong pada 22 dan 25 Oktober lalu melibatkan sindiket dadah yang sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua kes membabitkan lelaki warga China yang dipercayai direkrut sindiket berpangkalan di negara itu untuk membawa dadah ke Hong Kong melalui Malaysia.

Beliau berkata, persamaan laluan perjalanan serta penggunaan pasport baharu tanpa rekod perjalanan antarabangsa sebelum ini menguatkan kemungkinan kedua-dua kes berkenaan mempunyai kaitan.

“Kemungkinan besar sindiket di China merekrut warga negara itu yang mempunyai masalah kewangan untuk membawa dadah ke Hong Kong melalui Malaysia,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini, lapor BH.

Hussein berkata, kedua-dua suspek berlepas dari Shenzhen menggunakan penerbangan AirAsia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum perjalanan mereka diatur pihak tertentu untuk ke Pulau Pinang.

Dari Pulau Pinang, katanya, mereka dipercayai menaiki penerbangan Cathay Pacific ke Hong Kong.

“Kedua-dua suspek menggunakan pasport baharu dan tidak mempunyai sejarah perjalanan sebelum ini.

“Kaedah mereka sama iaitu datang ke KLIA menggunakan AirAsia sebelum ada pihak mengatur perjalanan ke Pulau Pinang untuk menaiki penerbangan lain ke Hong Kong,” katanya.

Mengulas cara suspek direkrut, Hussein berkata, lelaki pertama dipercayai tertarik dengan tawaran ganjaran kewangan manakala suspek kedua dikatakan mempunyai masalah hutang.

“Suspek kedua pula mempunyai masalah hutang dan dijanjikan hutangnya akan diselesaikan jika dia melakukan tugasan (membawa dadah) itu,” katanya.

Beliau berkata, sindiket dadah sentiasa mencari ruang dan kelemahan dalam kawalan keselamatan di pintu masuk serta keluar negara bagi melancarkan kegiatan mereka.

“Penggunaan laluan penerbangan dari Pulau Pinang mungkin bertujuan untuk mengelakkan kawalan keselamatan yang semakin ketat di KLIA,” katanya.

Dalam kes pertama pada 22 Oktober lalu, Kastam Hong Kong menahan seorang lelaki warga China berusia 25 tahun sejurus tiba dari Pulau Pinang menggunakan penerbangan Cathay Pacific.

Pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuknya menemukan dua kilogram kokain.

Siasatan awal JSJN mendapati suspek memperoleh dadah itu daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

Suspek dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari, selain mempunyai beberapa tempahan hotel.

Selain itu, suspek dijanjikan ganjaran RMB2,000 (kira-kira RM1,225) bagi urusan berkaitan dadah berkenaan.

Dalam kes kedua 25 Oktober lalu pula, Kastam Hong Kong menahan seorang lagi lelaki warga China berusia 39 tahun selepas tiba dari Pulau Pinang.

Pemeriksaan terhadap bagasi kabinnya menemukan kira-kira 2.2 kilogram kokain bernilai HK$1.3 juta (kira-kira RM677,000).

Hussein berkata, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rangkaian sindiket yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here