KOLEJ Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular yang mengaitkan tajaan Inkubator Ulul Albab dengan pemberian biasiswa kepada individu tertentu termasuk anak Timbalan Ketua Menteri 1 dan anak Mufti Pulau Pinang.
Rektornya, Profesor Madya Dr Wan Nazjmi Mohamed Fisol berkata, tuduhan tersebut disifatkan sebagai tidak berasas serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pelaksanaan program Inkubator Ulul Albab yang kini masih dalam peringkat penyediaan.
Jelasnya, Pusat Inkubator Ulul Albab baru dilancarkan pada 3 Februari lalu menerusi Majlis Citra Korporat dengan nama Pusat Pendidikan Syeikh Abdullah Fahim (SAF Centre) yang diposisikan di KITAB Pulau Pinang sebagai pusat pengurusan dan sekretariat bagi program berkenaan.
Bagaimanapun katanya, program itu belum dilaksanakan secara rasmi dan masih dalam proses penyediaan kerangka pelaksanaan.
“Sehubungan itu, pihak KITAB menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibangkitkan kerana isu yang tular tidak mempunyai kaitan dengan Tajaan Inkubator Ulul Albab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perkara dibangkitkan sebenarnya berkaitan biasiswa pengajian yang ditawarkan oleh KITAB kepada pelajar lepasan Diploma KITAB untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti di Timur Tengah, khususnya di Jordan dan Mesir.
Jelasnya lagi, program penghantaran pelajar lepasan diploma ke universiti di Timur Tengah itu telah dilaksanakan sejak tahun 2022 dan kini memasuki kumpulan ketiga.
“Tajaan ini diberikan kepada pelajar yang layak serta memenuhi syarat yang ditetapkan berdasarkan kategori asnaf fi sabilillah tanpa mengira status individu.
“Anak Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan anak Mufti Pulau Pinang bukan penerima tajaan di bawah Program Inkubator Ulul Albab. Sebaliknya, mereka layak dipertimbangkan untuk biasiswa bagi melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti di Timur Tengah,” jelasnya.
Bagaimanapun menurutnya, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telah menolak tawaran biasiswa yang ditawarkan kepada anaknya.
“Dakwaan bahawa anak pemimpin berkenaan tidak memenuhi syarat turut disifatkan sebagai tidak benar kerana individu tersebut telah melalui proses penilaian yang ditetapkan oleh institusi serta universiti di Jordan.
“Malah calon berkenaan turut melepasi tapisan oleh Education Malaysia Jordan (EMJ), Pejabat Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan.
“Sehubungan itu, KITAB berharap semua pihak tidak menyebarkan tohmahan atau fitnah yang boleh menjejaskan reputasi institusi ini,” ujarnya.


