KPDN rampas 190 tong LPG haram, bernilai lebih RM83,000

SEBUAH premis dipercayai dijadikan stor penyimpanan haram gas petroleum cecair (LPG) diserbu dalam operasi penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), 9 Februari lalu di Kajang.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata serbuan dilakukan hasil risikan pasukan penguat kuasa selepas premis berkenaan disyaki menyimpan barang kawalan tanpa lesen sah.

Menurutnya, pasukan yang tiba di lokasi mendapati premis berpagar zink itu berkunci sebelum berjaya memasuki kawasan berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Dalam operasi itu, pasukan serbuan menemukan sebuah lori jenis Daihatsu membawa 110 tong LPG berkapasiti 14 kilogram manakala tambahan 80 tong LPG berkapasiti 14 kilogram serta tong berkapasiti 50 kilogram di kawasan pelantar premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, dua individu tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita turut dikesan berada di lokasi dan dipercayai berperanan sebagai pemandu lori serta kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan LPG berkenaan diperoleh daripada sebuah syarikat di Bandar Rinching, Semenyih sebelum disimpan di premis terbabit tanpa lesen sah.

“Pihak KPDN telah menyita kesemua tong gas LPG tersebut bersama sebuah lori dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM83,116.00

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bagi memastikan ketirisan subsidi negara dapat dibanteras sepenuhnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img