SEBUAH kren bergerak yang digunakan untuk kerja-kerja penyenggaraan tumbang menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup laluan utama di Jalan Johor Bahru – Air Hitam berhampiran lampu isyarat Masjid Saleng, di Kulai petang tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan kenderaan berat berkenaan berada dalam keadaan melintang dan menghalang keseluruhan laluan utama tersebut.

Pihak berkuasa telah mengambil tindakan segera dengan menutup jalan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan dan pembersihan dijalankan oleh pasukan teknikal di lokasi kejadian.
Insiden ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang dari kedua-dua arah, kerana lokasi tersebut merupakan laluan utama pergerakan kenderaan antara Johor Bahru dan kawasan utara negeri.
Sementara itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dalam kenyataannya di Facebook memaklumkan notis penutupan jalan untuk kerja pengalihan kenderaan berat tersebut
Menurut kenyataan itu, bagi mengelakkan pengguna daripada terperangkap dalam kesesakan, polis mencadangkan beberapa laluan alternatif untuk digunakan buat sementara waktu iaitu Jalan Jumbo, Jalan JPO (Johor Premium Outlets) dan Lebuhraya PLUS.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan petugas di lokasi, dan menggunakan aplikasi navigasi untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.
Setakat ini, tiada laporan mengenai sebarang kecederaan serius diterima dalam insiden tersebut.


