Krisis Perlis…Pas-Bersatu selesailah elok-elok..kalau tak mahu PN ‘berkubur’

SOAL siapa bakal menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar (MB) Perlis dijangka diketahui masa terdekat.

Dua parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Bersatu masing-masing sudah menghantar nama calon masing-masing kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Terserahlah kepada kebijaksanaan baginda menentukannya.

Tetapi persoalan lebih utama ialah tidak kira siapapun menjadi MB sama ada dari Bersatu atau Pas, adakah hubungan kedua-dua parti itu akan terjejas? Jika menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hubungan itu tidak ada masalah kerana konflik yang berlaku hanya di Perlis melibatkan lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas.

Kelapan-lapan ADUN itu dikatakan menandatangani akuan bersumpah untuk menarik sokongan terhadap Mohd Shukri sebagai Menteri Besar.

Ketiga-tiga ADUN itu sudahpun tergugur keahlian Pas dan  kini dalam proses kehilangan kedudukan sebagai ADUN mengikut Enakmen Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis manakala di pihak Bersatu belum kedengaran apa-apa tindakan ke atas lima ADUNnya itu.

Bagaimanapun desakan oleh Abdul Hadi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya Bersatu mengambil tindakan ke atas lima ADUN berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan terhadap implikasi terhadap hubungan antara kedua-dua parti.

 Di luar PN, ramai yang sedang ‘tumpang semangkuk’  melihat isu lima ADUN itu akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti berkenaan. Ia memandangkan Bersatu berada dalam situasi ‘ditelan mati emak, di luah mati bapa’. Kalau  tidak ambil tindakan sudah pasti Pas akan menganggap Bersatu tidak ada semangat setiakawan. Mungkin akibat tafsiran itu hubungan Pas-Bersatu akan terjejas.

Kalau Bersatu melakukan tindakan sama seperti Pas iaitu menggugurkan keahlian kelima-lima ADUN berkenaan, ia bermakna buat sementara Bersatu tidak ada wakil rakyat. Mereka akan memperolehi semula kerusi itu melalui PRK yang akan diadakan..itupun kalau menang.

Tetapi jika mereka mengekalkan kelima-lima ADUN tersebut tanpa mengambil apa-apa tindakan, ia akan menjejaskan hubungan setiakawan dengan Pas. Jadi apa pilihan Bersatu ada? Apakah mungkin kelima-lima merdeka digantung keahlian untuk tempoh tertentu tetapi masih aktif sebagai ADUN sepertimana UMNO lakukan kepada Ahli Parlimennya?

Mungkin ada yang menganggap permintaan Pas yang mahu kelima-lima ADUN itu digugurkan keahlian agak keterlaluan. Tetapi Pas berhak berasa berang kerana kelima-lima ADUN itu bersekongkol dengan tiga ADUN Pas untuk menjatuhkan Mohd Shukri sebagai Menteri Besar dan sekaligus mengugat pentadbiran negeri di bawah PN yang Pas menjadi tonggaknya. Bak kata Abdul Hadi sepatutnya mereka pakat-pakat mempertahankan bukan pakat-pakat menjatuhkan.

Akibat tindakan mereka pelbagai spekulasi tercetus khususnya melibatkan hubungan antara Bersatu dan Pas yang dikatakan dari semasa ke semasa semakin panas. Dan ia menjadi lebih panas apabila ada pulak ‘puak-puak tumpang semangkuk’ yang hanya menanti masa mahu memburukkan kesepakatan PN.

Pada masa sama ada pula pemimpin Bersatu yang merasakan ini waktu terbaik untuk Bersatu mengambil alih jawatan MB. Penulis tidak kata ADUN Bersatu tidak layak tetapi Pas masih ada majoriti. Apapun terserah kepada Tuanku Raja Perlis membuat keputusan.

Cuma buat masa ini sama ada pemimpin Pas mahupun Bersatu elaklah berbalah, sebaliknya cari penyelesaian terbaik. Selesailah elok-elok…politik Perlis harus ditenangkan semula walaupun sejarah membuktikan sudah beberapa kali konflik berlaku di negeri tersebut.

Dulu lagi teruk antara UMNO sama UMNO ketika BN jadi kerajaan negeri, sekarang Bersatu-Pas pula yang sama-sama memerintah Perlis. Sampai bila rakyat Perlis harus dipaksa ‘menonton’ drama politik seperti itu? Bosanlah…

Penyelesaian krisis politik Perlis melibatkan kedua-dua parti amat penting demi jangka hayat Perikatan Nasional. Jika ia tidak mampu diselesaikan dengan baik percayalah Perikatan Nasionalpun ‘tidak akan hidup’ lama. Kalau apa-apa berlaku, Pas mungkin terselamat kerana mereka ada kekuatan akar umbi, Bersatu bagaimana?

Oleh itu mereka harus mencari kaedah  untuk menamatkan krisis politik di utara semenanjung itu. Jangan ikut kepala masing-masing sahaja.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img