Kukuhkan rohani pasti mampu hapuskan ‘tikus kartel’, pulihkan imej ATM

‘’DAN  siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu infakkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi”.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 47 dibacakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman ketika menyampaikan Perintah Ulung beliau di Kem Sungai Besi pada 16 Februari lalu.

Sememangnya dalam sebuah peperangan atau menghadapi ancaman kekuatan pasukan tentera amat diperlukan bagi mempertahankan negara. Namun sebuah angkatan tentera yang ampuh bukan sekadar bergantung kepada kelengkapan atau peralatan ketenteraan tetapi perlu diserapkan dengan kerohanian yang mantap.

Justeru apabila Malek Razak menyenaraikan ‘warga berakhlak tinggi tersemai iman di sanubari’ sebagai tonggak pertama daripada tujuh tonggak sebagai penggerak pembaharuan, ia adalah langkah paling tepat.

Melalui langkah itu beliau menegaskan:

 Dasar pembinaan mental dan kerohanian Islam, pendidikan, moral dan etika tentera diperkasakan dan diterapkan secara menyeluruh dan memutuskan Kor Agama Angkatan Tentera  (KAGAT) diletakkan secara langsung di bawah Panglima Angkatan Tentera sebagai penasihat, pemantau dan pembimbing membina sahsiah serta ketahanan rohani.

Ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang  dibaluti pelbagai kontroversi, dijangkiti pelbagai ‘penyakit’ dan dihantui pelbagai isu melibatkan pegawai-pegawai kanannya, maka tonggak pertama ini  adalah ‘ubat  paling mujarab’ untuk mengubati serta memulihkan semua keadaan itu.

Penerapan nilai kerohanian ini akan mampu memperkukuhkan keimanan pegawai dan anggota ATM. Hanya melalui iman di hati sahaja ia mampu menghalang mereka daripada terlibat dalam perbuatan negatif dari ‘pesta horey horey’ hinggalah   salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan lain.

Sehubungan itu KAGAT tidak harus lagi dilihat atau dianggap sekadar membaca doa di majlis, membaca talkin di kubur, atau membaca khutbah di mimbar sebaliknya mereka berkemampuan melakukan lebih daripada itu dalam memperkukuhkan jati diri pegawai dan anggota ATM.

Sebagai penasihat, pemantau dan pembimbing membina sahsiah serta ketahanan rohani, Malek Razak  boleh mencontohi bagaimana  Salahuddin Al-Ayubi  mengalahkan tentera musuh yang ramai dengan bilangan tentera yang terhad.

Dalam keadaan kelengkapan perang yang tidak setanding, tentera Islam pimpinan Salahuddin berjaya mengucar-ngacir dan menumpaskan tentera musuh. Rahsia kejayaan Salahuddin ialah bagaimana setiap malam beliau akan meronda khemah-khemah tenteranya untuk memerhati apa yang mereka lakukan.

 Keesokan harinya beliau akan memilih tentera dalam kalangan mereka yang menghidupkan malam dengan qiamulaill seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya untuk berperang menghadapi musuh.  Sebaliknya tentera yang tidur, rehat, berbual-bual kosong dan sebagainya akan ditinggalkannya.

Berbanding dengan zaman Salahuddin Al-Ayubi godaan pada zaman ini kepada ATM jauh lebih mencabar. Justeru langkah Malek Razak mahu memperkukuhkan kerohanian dalam kalangan pegawai dan anggota adalah tepat dan wajib dilaksanakan jika beliau berhasrat untuk melakukan pembersihan secara total dalam pasukan tersebut.

Pegawai dan anggota ATM yang mempunyai keimanan kukuh dan disematkan dalam hati mereka bahawa apa yang mereka lakukan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat nanti Insha-Allah tidak akan mengkhianati amanah diberikan.

Bagaimanapun cabaran terbesar Malek Razak ialah memastikan tidak wujud kartel yang menjadi pencatur dalam ATM seperti mana yang menjadi bualan ramai.  Bagi mencapai hasrat itu ia menuntut keberanian Panglima ATM untuk mengorak langkah melawan arus dan berdiri atas dasar melaksanakan amanah serta menegakkan kebenaran.

Dalam ATM tidak boleh ada pegawai-pegawai yang dipalitkan, dikaitkan atau disebut-sebut terlibat dengan kartel atau jadi ’tikus kartel’. Tidak kira apapun pangkat dan kedudukan, mereka ini tidak boleh ‘diberi kuasa’ menentukan jawatan strategik dalam ATM termasuklah perisikan.

Atas sebab itulah operasi pembersihan ATM yang mahu dilakukan oleh Malek Razak perlu memastikan tiada saki baki kartel atau ‘tikus kartel’ dalam pasukan berkenaan. Cukuplah sekali lagi imej ATM tercemar, cukuplah sekali pelbagai pandangan serong bergetayangan akibat skandal yang terjadi. Jangan biarkan lagi ada saki-baki ‘tikus kartel’ dalam ATM.

Pegawai-pegawai ATM yang ada tidak kira berapapun bintang di bahu, tiada kisahlah apapun impian atau cita-cita mereka untuk naik pangkat, pasti mereka itu bukan sahaja bersih tetapi mesti nampak bersih.

Panglima ATM ke-24 bertanggungjawab melahirkan kelompok kepimpinan baharu yang  teguh kerohaniannya dan kukuh mempertahankan amanah. Jika itu dapat dilaksanakan Insha-Allah ALLAH TENTU MEMBERKATI -ATM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img