Lagi kes rakyat Malaysia ditahan seludup dadah: 3 wanita ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta

KES cubaan menyeludup dadah ke negara jiran semakin menjadi-jadi dan terbaharu, tiga wanita Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta bersama pelbagai jenis dadah, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek berasal dari Sabah dan berusia antara 30 hingga 39 tahun.

“Pihak kita dimaklumkan (penahanan tiga warga Malaysia). Tiga wanita asal dari Sabah, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dadah.

“Dipercayai (dadah diseludup), lebih kepada kegunaan sendiri ekoran kuantiti yang kecil,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.

Bagaimanapun, Hussein menjelaskan penahanan tiga wanita Malaysia itu tidak mempunyai kaitan dengan dua lagi kes membabitkan rakyat Malaysia sebelum ini.

Terdahulu, media melaporkan tiga wanita berkenaan berlepas dari Kota Kinabalu, Sabah dan tiba di Terminal 2F Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 3 Ogos lalu.

Bagaimanapun, mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan pihak berkuasa Indonesia menemukan barangan terlarang dalam bagasi serta kasut mereka.

Antara yang dirampas adalah dadah jenis kokain masing-masing seberat 0.5 gram, 0.3 gram dan 2 gram; 4.2 gram pil ekstasi, 1.8 gram serbuk ketamin serta rokok mengandungi ketamin seberat 16.9 gram.

Penahanan mereka menjadikan kes ketiga cubaan menyeludup dadah membabitkan rakyat Malaysia ke negara jiran.

Sebelum ini, seorang pembantu juruterbang sebuah syarikat penerbangan nasional ditahan selepas cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi pada 28 Julai lalu.

Insiden kedua pula membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun yang ditahan selepas cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 biji pil ekstasi yang dilekatkan pada badannya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img