SEBUAH Lamborghini Huracan bernilai lebih RM1 juta antara 11 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury di Butterworth, Khamis lalu.
Berdasarkan hantaran di Facebook JPJ negeri, tindakan itu diambil selepas pemilik kenderaan gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans.
Pemeriksaan mendapati Lamborghini berkenaan dipandu dengan LKM yang tamat tempoh sejak Jun lalu.
“Untuk rekod, nilai LKM (cukai jalan) setahun bagi kenderaan mewah berspesifikasi tinggi seperti ini mencecah RM12,000,” katanya.
JPJ menegaskan nilai atau status sesebuah kenderaan bukan tiket untuk pemiliknya melanggar peraturan ditetapkan.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dilaksanakan secara telus dan agresif tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, termasuk pemilik kenderaan mewah.
“Pemilik kenderaan dinasihatkan tidak culas khususnya golongan berkemampuan yang memiliki kenderaan mewah supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya sedia ada.
“Operasi ini membuktikan tiada siapa kebal daripada tindakan undang-undang,” katanya.




