Lelaki amuk, ugut bakar kenderaan elak disita JPJ

SEORANG lelaki bertindak agresif dengan mengugut mahu membakar kenderaan pacuan empat roda miliknya selepas cuba disita dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuh Rembia, Melaka.

Dalam kejadian itu, pemandu berusia 29 tahun terbabit pada mulanya memberi kerjasama baik sebelum berubah agresif sebaik dimaklumkan kenderaannya akan disita.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan melakukan beberapa kesalahan serius termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Menurutnya, kenderaan dipandu itu juga tidak mempunyai perlindungan insurans selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.

“Makluman awal mendapati cukai jalan kenderaan berkenaan sudah luput dan tidak diperbaharui selama lapan tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut mengesahkan pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu menyebabkan kita mengeluarkan saman dan menyita kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata, keadaan menjadi tegang apabila lelaki terbabit menghubungi rakannya untuk mendapatkan petrol dengan tujuan membakar kenderaan tersebut.

“Seorang penumpang yang juga rakannya turut campur tangan dan mengugut anggota dengan mendakwa dirinya bekas tahanan.

“Bagaimanapun, anggota JPJ berjaya mengawal situasi dengan pendekatan profesional dan berhemah sebelum kedua-dua individu itu akur,” katanya.

Menurutnya, tiada kejadian tidak diingini berlaku dan kenderaan terbabit dibawa ke depoh sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.

Katanya, JPJ akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan berintegriti tanpa tunduk kepada sebarang ugutan demi memastikan keselamatan jalan raya terjamin.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img