SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki mencederakan jirannya menggunakan kayu dan batu di Taman Midah, Cheras pada Selasa lalu akibat rasa tidak puas hati terhadap jiran meletak kenderaan di hadapan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia awal 60-an kira-kira jam 11.35 malam pada hari kejadian.
Beliau berkata, pengadu mendakwa suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum membaling kayu dan batu ke arahnya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian kaki serta sakit di anggota badan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek berhubung parkir kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, berikutan laporan yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menahan seorang lelaki tempatan berusia pertengahan 20-an di tepi Jalan Peel, Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 malam keesokannya.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah.
“Suspek direman selama dua hari pada Khamis hingga Jumaat lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Mohd Rosdi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.


