Lelaki ditahan toreh rakan sekerja dengan objek tajam

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan mangsa ditoreh menggunakan objek tajam berhampiran pondok rehat di Kawasan Menara Alor Setar, Kedah petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, seorang lelaki cedera parah di kepala dan betis dipercayai ditoreh menggunakan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati insiden tercetus akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang dipercayai rakan sekerja di sebuah kedai membaiki kasut.

“Suspek dikatakan berang kerana mendakwa mangsa mengambil wang hasil perniagaan tanpa pengetahuannya.

“Pertengkaran kemudian bertukar menjadi pergaduhan sebelum suspek menoreh mangsa menggunakan objek tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Susulan kejadian itu, polis segera bertindak dan menahan suspek iaitu lelaki tempatan berusia 51 tahun di sebuah rumah di Alor Setar.

Polis turut merampas sebatang kayu penyapu dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut.

“Hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek positif morfin. Semakan rekod turut menunjukkan suspek mempunyai 13 rekod lampau melibatkan jenayah dan narkotik,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Suspek direman lima hari bermula 10 hingga 14 November bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Daerah Kota Setar, Inspektor Mohammad Syazwan Mohammad Rodhi di talian 04-774 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img