Bicara kes Muhyiddin akan bermula Mac 2026

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Mac tahun hadapan sebagai tarikh perbicaraan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga kes pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta.

Pada sebutan kes hari ini, Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh perbicaraan selama 29 hari iaitu pada 9, 10 dan 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 27 hingga 29 Julai; dan 7, 18, 19, 20, 21, 26 dan 27 Ogos 2026.

Tarikh berkenaan dipersetujui pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam bela Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin.

Sementara itu, Wan Shaharuddin memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya akan memanggil tidak lebih daripada 30 saksi untuk memberikan keterangan pada perbicaraan itu.

Chetan sementara itu berkata, anak guamnya akan membuat permohonan bagi mendapatkan pasport sementara untuk ke luar negara dan mahkamah menetapkan pada 18 November ini bagi tarikh pendengaran.

Mahkamah turut menetapkan sebutan kes pada 27 November ini.

Pada 22 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar pasukan peguam bela Muhyiddin untuk menggugurkan semua tujuh tuduhan terbabit.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan empat tuduhan terhadap Muhyiddin atas alasan ia kabur dan tidak berasas, bagaimanapun pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan pertuduhan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Pada 4 April lalu pula, Muhyiddin memohon kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan itu membabitkan isu undang-undang yang kompleks dan berkepentingan awam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 78, yang ketika itu sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat bagi sekutu parti itu.

Ketiga-tiga syarikat dan individu itu ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Datuk Azman Yusoff.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik BERSATU.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img