CUBAAN seorang lelaki warga Malaysia menyeludup dadah bernilai kira-kira RM15,000 ke Kelantan melalui Sungai Golok, Thailand, gagal apabila dia ditahan polis negara itu, Rabu lalu.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam waktu tempatan ketika berada di dalam sebuah kereta berhampiran sebuah hotel di pekan berkenaan.
Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Thun Sirikhunt berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan 20 pil ecstasy, 760 pil psikotropik dan kira-kira sembilan gram ketamin.
Menurutnya, penahanan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu membabitkan Polis Sungai Golok, Biro Siasatan Wilayah Sempadan Selatan serta pegawai pentadbiran Daerah Sungai Golok.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Kelantan dengan mendapatkan bekalan daripada sindiket di Sungai Golok.
“Polis bertindak mengepung kenderaan suspek selepas menerima maklumat berhubung seorang lelaki yang disyaki membawa bahan terlarang sebelum pemeriksaan menemukan dadah berkenaan.
“Suspek mengaku menyembunyikan dadah itu di dalam kereta dan merancang menyeludupnya ke Malaysia melalui Pos Kawalan Imigresen dan Kastam Sungai Golok,” katanya.
Beliau berkata, suspek berdepan pertuduhan memiliki narkotik Kategori 1 secara haram, iaitu ecstasy untuk tujuan jualan, selain menjual bahan psikotropik secara haram termasuk ketamin dan Epam.




