POLIS mengesahkan mangsa kes tembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor pada Jumaat lalu merupakan individu yang dikehendaki polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berusia 34 tahun itu juga memiliki beberapa rekod jenayah lain.
Menurut beliau, siasatan setakat ini menjurus kepada pelbagai aspek mengambil kira latar belakang mangsa dan tujuh keterangan telah diambil membabitkan isteri serta keluarganya selain saksi kejadian.
”Siasatan masih dijalankan… bedah siasat telah selesai dan punca kematian adalah kecederaan akibat beberapa das tembakan di bahagian dada serta perut, dan jasad telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya hari ini, lapor Bernama.
Shazeli berkata demikian pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, seorang suspek menaiki motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kereta yang ketika itu berhenti di sebuah stesen minyak dan tembakan mengenai mangsa yang juga seorang penganggur.


