SEORANG peniaga yang dilaporkan menghilangkan diri selepas berjanji mengahwini remaja perempuan yang dirogolnya bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, Johor hari ini.
Tertuduh, Haffiq Fitrie Hamdan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan keciciran sekolah itu di sebuah rumah dalam daerah Muar pada jam 12.30 tengah malam, 20 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat mangsa, tertuduh mengenali remaja itu melalui media sosial beberapa bulan lalu sebelum melakukan hubungan terlarang.
Pada masa sama, tertuduh didakwa berjanji dengan mangsa untuk berkahwin namun dia kemudian dikatakan menghilangkan diri selain turut menyekat nombor telefon serta media sosial milik mangsa.
Mangsa membuat laporan polis pada 4 November lalu dan susulan itu tertuduh ditahan dua hari kemudian.
Pada prosiding tersebut, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh berkomunikasi atau mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ini disebut semula pada 6 Januari depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.



