SEORANG lelaki maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan ketika cuba melarikan diri semasa serbuan polis di sebuah unit kediaman di Jalan Gombak, Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 9.07 malam.
Menurutnya, ketika kejadian polis sedang menjalankan serbuan di kediaman berkenaan bagi membantu siasatan kes curi motosikal sebelum dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan tersebut.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi suspek terselamat.
“Kes diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut menahan 12 individu terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 42 tahun.
Menurutnya, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan kecuali dua daripadanya warga Indonesia.
“Pihak polis turut merampas dua motosikal dipercayai motosikal curi serta beberapa jenis dadah di kediaman tersebut,” katanya.


