SEORANG lelaki berusia 29 tahun melecur hampir 80 peratus anggota badannya selepas tong gas petroleum cecair (LPG) terbakar di sebuah unit pangsapuri di Taman Penampang, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius selepas kebakaran dipercayai berlaku di ruang dapur kediamannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.15 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Seorang mangsa mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badan akibat kejadian berkenaan.
“Anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi bagi memastikan tiada lagi risiko atau bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan penghuni.
Katanya, punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan pihak bomba.


