SEORANG lelaki tempatan ditahan bersama sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas kenderaan dipandunya merempuh kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kejadian di Lorong Maut, Tumpat, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek berusia 25 tahun yang mempunyai satu rekod jenayah lampau ditahan anggota PGA Batalion 7 hasil maklumat orang awam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek memandu kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum bertindak merempuh kenderaan pasukan keselamatan itu.
Katanya, suspek mengalami kecederaan pada lengan kanan selepas cermin hadapan kereta berkenaan pecah dalam kejadian itu, manakala kenderaan PGA turut mengalami kerosakan akibat pelanggaran berkenaan.
Beliau berkata, sembilan PATI yang ditahan terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki, semuanya warga Myanmar.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu menaiki kenderaan berkenaan di Pantai Geting sebelum dibawa ke Lubok Jong, Pasir Mas.
“Dari Pasir Mas, mereka akan dihantar ke Selangor menggunakan pengangkutan lain,” katanya.
Radzi berkata, suspek yang berasal dari Bunut Susu, Pasir Mas bersama kesemua PATI berusia antara 18 hingga 34 tahun itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.





