PENYERTAAN Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 berjaya merekodkan sembilan Memorandum Persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MOA) dengan nilai keseluruhan kerjasama RM6.27 juta.
Daripada jumlah itu, lapan kerjasama melibatkan nilai kewangan RM6.27 juta, manakala satu lagi merupakan kerjasama tanpa nilai kewangan.

MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September lalu turut menyaksikan sebanyak 73,656 pengunjung hadir ke segmen dan ruang pameran di bawah MARDI, dengan nilai jualan keseluruhan RM241,391.
MARDI dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pencapaian itu memperlihatkan peranan MAHA sebagai platform strategik MARDI dalam memperluas pemindahan teknologi, mendekatkan hasil penyelidikan kepada masyarakat serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan pemain industri.
Menurutnya, antara tumpuan utama adalah Laman Agrofood Sayuran, Herba dan Kelulut yang menyediakan ruang interaktif untuk pengunjung melihat aplikasi teknologi pertanian secara langsung menerusi Laman Sayuran, House of Cili, Laman Herba dan Laman Kelulut.
“Pengunjung turut berpeluang mendapatkan penerangan serta khidmat nasihat daripada penyelidik MARDI, selain melihat perkembangan tanaman menerusi Plot Tanaman Bawang Merah dan Plot Tanaman Jagung Bijian.
“MARDI turut mengadakan pelbagai sesi perkongsian, demonstrasi teknologi dan aktiviti interaktif berkaitan pengurusan penyakit tanaman, teknologi tanaman makanan, varieti baharu, pengeluaran sayuran, jagung bijian, bawang dan herba, termasuk teknologi baja pelepasan terkawal (CRF),” kata MARDI dalam kenyataan itu.
Menurut agensi itu lagi, demonstrasi penyediaan makanan dan produk berasaskan hasil pertanian pula mengetengahkan potensi penyelidikan MARDI sepanjang rantaian nilai, daripada pengeluaran sehingga penghasilan produk bernilai tambah.
Katanya, dalam usaha memperluas akses kepada hasil penyelidikan, Laman Agromadani menghimpunkan teknologi, produk dan inovasi daripada stesen-stesen MARDI di seluruh negara untuk dipamerkan serta dijual kepada pengunjung.
Inisiatif itu turut membuka ruang pasaran baharu selain menghubungkan hasil penyelidikan MARDI secara lebih dekat dengan pengguna, tambahnya.
Dari aspek pengkomersialan, jelas MARDI, sembilan MOU dan MOA yang dimeterai menunjukkan potensi MAHA sebagai medan strategik untuk mempertemukan MARDI dengan pemain industri, syarikat serta usahawan bagi meneroka peluang pembangunan dan pengembangan teknologi serta inovasi.
Pada masa sama, MARDI memaklumkan, pelancaran varieti baharu seperti Limau Bali MELoMAX 1 dan MELoMAX 2 serta Ubi Keledek V8 memperkukuh usaha MARDI menterjemahkan hasil penyelidikan kepada inovasi yang memberi nilai kepada petani, industri dan pengguna.
“Secara keseluruhannya, penyertaan MARDI di MAHA 2026 merangkumi ekosistem penyampaian teknologi daripada pameran, pemindahan ilmu dan demonstrasi kepada pembangunan produk, jualan serta pengkomersialan.
“Pencapaian berkenaan mengukuhkan peranan MARDI sebagai peneraju penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) dalam memastikan hasil penyelidikan serta teknologi pertanian diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada petani, usahawan, industri dan masyarakat, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.





