SERAMAI 100 penuntut orang kurang upaya (OKU) Universiti Al-Azhar diraikan dalam program iftar istimewa di atas kapal cruise di Sungai Nil hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, MyFundAction Mesir.
Program yang berlangsung pada 3 Mac lalu itu melibatkan kira-kira 20 sukarelawan mahasiswa Malaysia bersama beberapa pelajar antarabangsa yang berganding bahu menjayakan majlis berbuka puasa berkenaan.
Pengurus Cawangan MyFundAction Mesir, Muhammad Amjad Haziq Mohd Ashari berkata, program tersebut merupakan kerjasama rasmi antara MyFundAction dan Universiti Al-Azhar bagi menyantuni pelajar kurang upaya dari pelbagai fakulti.
Menurutnya, kelainan program kali ini ialah ia memberi peluang kepada pelajar OKU merasai pengalaman berbuka puasa di atas kapal cruise di Sungai Nil.
“Sebelum ini kami menganjurkan program iftar bersama pelajar biasa di dalam dewan atau kawasan universiti, namun kali ini kami ingin memberikan pengalaman berbeza kepada 100 pelajar Al-Azhar yang mempunyai kekangan fizikal.
“Mereka terdiri daripada pelajar berusia antara 18 hingga 22 tahun, termasuk yang mempunyai masalah penglihatan, tidak boleh berjalan, pekak dan bisu serta beberapa kekangan fizikal lain,” katanya ketika dihubungi utusanmelayplus.
Beliau berkata, semua pelajar yang diraikan merupakan warga Mesir dari pelbagai fakulti di Universiti Al-Azhar.
“Walaupun ada pelajar yang tidak dapat melihat keindahan pemandangan Sungai Nil, mereka tetap dapat merasai suasana berbuka puasa yang istimewa melalui pengalaman mendengar bunyi aliran sungai serta persembahan daripada rakan-rakan mereka sendiri.
“Ada dalam kalangan pelajar OKU itu mempersembahkan nasyid, taranum al-Quran dan syair bagi memeriahkan majlis,” katanya.
Menurutnya, program tersebut turut dihadiri beberapa pegawai kanan universiti termasuk dekan fakulti dan pensyarah yang bersama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa itu.
“Dana bagi menjayakan program berkenaan pula, diperoleh hasil sumbangan orang ramai terutamanya rakyat Malaysia yang berkongsi rezeki melalui MyFundAction.
Tambah beliau, antara cabaran utama program tersebut ialah memastikan semua pelajar OKU dapat dibawa dengan selamat menaiki kapal cruise termasuk membantu mereka yang menggunakan kerusi roda atau mempunyai kekangan pergerakan.
Menurutnya, program itu bukan sahaja memberi kegembiraan kepada pelajar OKU malah menjadi pengalaman bermakna kepada sukarelawan mahasiswa Malaysia yang terlibat.
“Inisiatif ini diharap dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat Malaysia dan Mesir selain memperlihatkan peranan mahasiswa Malaysia sebagai duta kecil yang membawa nilai kemanusiaan di peringkat antarabangsa,” katanya.


