MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan hukuman penjara selama 10 bulan terhadap 33 lelaki, sekali gus membatalkan hukuman sebelum ini iaitu hanya dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM3,000 oleh Mahkamah Majistret kerana merusuh dan memiliki pelbagai senjata.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah sebelum ini.
Beliau memerinthkan kesemua mereka untuk menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Kesemua 33 lelaki terbabit ialah Tan Chee Chin, G Bathmanathan, M Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.
Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G Srikanth, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung serta dua lagi tertuduh berusia 19 tahun, Alvin Yong Kai Zhe dan Chong Yu Heng.
Bagi seorang lagi tertuduh, mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap A Ganesan kerana gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding semakan hukuman tersebut.
Pada 10 April lalu, media melaporkan seramai 32 lelaki yang tular dalam insiden rusuhan membabitkan sebuah lori yang merempuh pagar sebuah pusat hiburan didenda antara RM2,000 hingga RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 57 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh dan memiliki pelbagai senjata di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Sementara itu, dua lagi tertuduh muda berusia 19 tahun tersebut didenda RM2,000 atau penjara selama tiga bulan bagi pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa hadir dan menyertai rusuhan serta memiliki senjata api, peluru, bahan letupan atau bahan lecur, kayu dan batu yang boleh mencederakan serta digunakan untuk menyerang.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di Cheras pada jam 7.30 petang, 5 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


