Anggota tentera didakwa lakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak

SEORANG anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan dan satu pertuduhan memiliki pelbagai gambar serta video lucah di dalam telefon bimbit, minggu lalu.

Prebet Muhammad Fudhail Fathollah Hamdan, 23, mengaku faham pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah dan meminta dibicarakan.

Prosiding kes didengar di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin manakala pendakwaan dan pembelaan, masing-masing diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan dan peguam SS Amritpal Singh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun enam bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di Nombor 35, Jalan Serindit, Kem Terendak, Sungai Udang pada 12 April lalu, kira-kira jam 4.30 petang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki pelbagai gambar dan video lucah yang disimpan dalam telefon bimbit miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan semasa tertuduh berada di Pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 13 April lalu, kira-kira jam 8 malam.

Terdahulu, pendakwaan mencadangkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan difikirkan perlu oleh mahkamah termasuk tidak mengganggu mangsa dan saksi serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Katanya, tertuduh berkhidmat selama dua tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia dan sudah bertunang tahun lalu.

“Keluarganya tidak mampu membayar jaminan tinggi dan bergantung kepada pendapatan tertuduh. Tunang tertuduh juga turut hadir di mahkamah hari ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat dipohon pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mei depan bagi serahan dokumen.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img