MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur , hari ini menolak saman berjumlah RM12.5 juta yang difailkan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan beberapa pemimpin tertingginya berhubung dakwaan kegagalan membayar yuran guaman.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan, tuntutan Haniff tidak berasas dan mendapati perkhidmatan yang diberikan beliau kepada BERSATU antara 2016 hingga 2020 adalah secara sukarela dan tidak tertakluk kepada sebarang perjanjian pembayaran.
“Ini adalah bukti ketika parti ini ditubuhkan, pelbagai pihak termasuk peguam memberi khidmat secara sukarela.
“Seorang daripada peguam terbabit ketika memberi keterangan menyatakan tidak timbul isu mengenai pembayaran bagi perkhidmatan yang diberikan,” katanya dalam penghakiman ringkas, hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, bukti menunjukkan tugas Haniff dalam menasihati berhubung penubuhan BERSATU dan perkara berkaitan adalah sebahagian daripada usaha bersama untuk menubuhkan parti demi manfaat rakyat dan bukan berasaskan kontrak bayaran.
Hakim juga menyatakan Haniff tidak pernah membangkitkan isu pembayaran atau mengemukakan sebarang bil sepanjang tempoh berkenaan, dengan invois pertamanya hanya dihantar pada Januari 2021, iaitu hampir setahun selepas BERSATU keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
“Ini menyokong kenyataan defendan bahawa tiada perjanjian untuk membayar perkhidmatan berkenaan.
“Bil itu hanya datang kemudian, dan pihak defendan tidak mengambil tindakan kerana tiada sebarang persetujuan dibuat,” katanya, sambil menambah perkhidmatan Haniff diberi secara sukarela tanpa sebarang bayaran.
Mahkamah turut mengarahkan Haniff membayar kos RM150,000 kepada parti politik berkenaan.


