Malaysia 1963–2025: Dari perjanjian sejarah ke aspirasi perpaduan moden

HARI  Malaysia perlu dimulakan dengan meletakkan 16 September 1963 bukan sekadar peristiwa penggabungan wilayah, tetapi sebagai satu keadaan bersejarah iaitu penubuhan sebuah negara-bangsa moden dengan struktur perlembagaan yang menyatukan kepelbagaian dalam satu kerangka kedaulatan.

Cadangan Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961, diikuti Suruhanjaya Cobbold 1962 dan rundingan IGC (Inter-Governmental Committee atau Jawatankuasa Antara Kerajaan), yang memeta jaminan khusus kepada Sabah dan Sarawak, memperlihatkan bahawa Malaysia lahir melalui tawar-menawar institusi, bukannya pemaksaan identiti.

  • Suruhanjaya Cobbold 1962 dibentuk bersama oleh kerajaan British dan Malaya pada tahun 1962 untuk memungut dan menentukan pandangan rakyat Borneo Utara (sekarang Sabah dan Labuan) dan Sarawak sama ada menyokong cadangan untuk membentuk atau membuat Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak.

 

Malaysia Agreement 1963 (MA63), 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak menstrukturkan autonomi terpilih terutama imigresen, agama, bahasa dan tanah, lalu menjadikan sistem persekutuan ini bersifat asimetri (keadaan yang tidak seimbang) yang sah dari sudut penerimaan sistem persekutuan.

  • MA63 adalah dokumen rasmi yang membentuk penubuhan Malaysia, manakala 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak ialah senarai syarat-syarat utama yang dikemukakan oleh kedua-dua negeri semasa perundingan untuk penyertaan mereka dalam Persekutuan Malaysia, yang kemudiannya menjadi asas kepada perlembagaan dan peruntukan undang-undang penting yang melindungi hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia. Intipati Hari Malaysia ialah pengiktirafan bahawa kesatuan politik tidak perlu menyerap homogenisasi budaya sebaliknya, ia membina “keseragaman dalam perbezaan” melalui undang-undang dan muafakat.

Dari lensa pemahaman negara-bangsa, Malaysia menggabungkan unsur nasionalisme sivik dengan warisan komuniti sejarah yang pelbagai. Selepas Perjanjian Westphalia 1648 (perjanjian ini menamatkan Perang Tiga Puluh Tahun (1618-1648) – memperkenalkan konsep kedaulatan negara), abad ke-20 memperlihatkan versi pascakolonial negara-bangsa yang terpaksa mencipta imaginasi kebangsaan merentasi garis etnik, bahasa dan agama.

Malaysia memilih jalan perlembagaan: Perkara 3 meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dengan jaminan kebebasan beragama; Perkara 152 mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; prinsip jus soli yang dibentuk semula dalam syarat kewarganegaraan pascamerdeka memberi struktur kepada keanggotaan politik; manakala mekanisme khas seperti Perkara 153 cuba mengimbangi keadilan sejarah dan realiti sosioekonomi.

Selepas rusuhan 1969, Rukun Negara (1970: ideologi kebangsaan Malaysia yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Ia dibentuk sebagai tindak balas kepada peristiwa 13 Mei 1969 dan bertujuan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum demi keharmonian dan perpaduan negara) dan Dasar Ekonomi Baru (1971) berfungsi sebagai pembetul struktur (bukan tanpa kritikan) tetapi melambangkan satu projek “kejuruteraan sosial” demi kestabilan jangka panjang.

 Dalam menjelaskan demokrasi konsosiasional, jelas bahawa pembahagian kuasa, rundingan elit dan formula muafakat berulang sebagai resipi untuk mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam pergolakan.

Konfrontasi Indonesia (1963–1966:  merujuk pada Konfrontasi Indonesia–Malaysia, sebuah konflik bersenjata dan politik yang terjadi antara Indonesia dan Malaysia dari tahun 1963 hingga 1966) dan keluarnya Singapura pada 9 Ogos 1965 ialah ujian awal yang mendedahkan hakikat rapuhnya gabungan tanpa keserasian institusi dan kepercayaan sosial. Namun, ironi sejarah ini bersifat mendidik, semakin awal kita memahami batas dan prasyarat kesatuan, semakin matang kita mengurus perbezaan.

Hari Malaysia menjadi ritual sivik untuk memeriksa kontrak nasional – apakah autonomi Sabah dan Sarawak dihormati dalam roh dan hurufnya, adakah pembangunan wilayah diimbangi dengan keadilan hasil dan bagaimana bahasa kebangsaan berjaya menjadi bahasa perpaduan tanpa menyingkir pelbagai bahasa ibunda yang membentuk tekstur budaya negara. Penghayatan terhadap persoalan ini menjadikan Hari Malaysia bukan nostalgia, tetapi audit moral dan institusi.

Dalam era digital, cabaran utama bukan lagi daripada sempadan ketenteraan, tetapi daripada arus maklumat dan emosi yang mempercepat polarisasi (pertumbuhan). Ekologi media hari ini menggabungkan algoritma yang memuja keterlibatan, bukannya ketepatan. Naratif identiti mudah digerakkan melalui klip pendek, bingkai sensasi dan amarah segera.

Di sinilah “imaginasi bangsa” yang selama ini dibina melalui pendidikan, sejarah dan simbol kebangsaan ditentang oleh mikro-naratif yang terputus daripada konteks. Jika negara-bangsa memerlukan cerita bersama, media sosial pula memecah cerita itu kepada serpihan yang diserap mengikut kelompok.

Menjaga Malaysia yang harmoni kini menuntut literasi warganegara baharu dengan mengimbangi kecekapan menimbang bukti, kesanggupan menunda reaksi emosi dan kebiasaan berdialog dengan pihak yang berbeza. Disiplin sivik inilah yang membezakan kebebasan bersuara daripada kebebasan memecah.

Kepentingan kenegaraan pada setiap insan Malaysia harus ditakrif semula sebagai amalan harian, bukan slogan bermusim. Kewarganegaraan perlembagaan menuntut kita melihat hak dan tanggungjawab sebagai satu pakej.

Hak untuk berbahasa, beragama, berniaga dan bersuara terikat dengan tanggungjawab menjaga keamanan, menghormati undang-undang dan memelihara maruah orang lain.

Pada tahap mikro, ia hadir dalam keputusan kecil – menjaga adab berbahasa di ruang awam digital, memeriksa fakta sebelum menyebarkan kandungan dan mengelak penilaian berasaskan stereotaip (sama tanpa perubahan) kerana keputusan kecil yang dikongsi jutaan warga membentuk iklim sosial sebenar.

Pada tahap komuniti, surau, gereja, kuil, persatuan penduduk, sekolah dan tempat kerja menjadi tapak latihan empati rentas budaya.

Pada tahap makro, institusi negara mesti konsisten, adil dan telus. Ini melibatkan soal integriti penguatkuasaan, ketelusan data dan kebolehjangkaan dasar meningkatkan modal kepercayaan. Tanpa kepercayaan sosial, pembangunan hanyalah angka.

Di Sabah dan Sarawak, intipati Hari Malaysia menuntut perhatian konkrit terhadap sistem persekutuan yang asimetri (keadaan yg tidak seimbang). Autonomi imigresen, keperluan Borneonisasi perkhidmatan awam, penjajaran fiskal dan infrastruktur, serta pengiktirafan warisan adat bukan sekadar janji sejarah tetapi prasyarat kesetiaan simbolik kepada projek nasional.

Kesetiaan terbina apabila warga melihat negara mendengar, menghormati dan menunaikan. Bukti material keadilan wilayah mencegah perasaan terpinggir yang mudah dieksploitasi oleh politik perpecahan.

 Begitu juga di Semenanjung, pengurangan jurang bandar-luar bandar, tumpuan kepada mobiliti sosial melalui pendidikan teknikal dan digital, serta pemodenan perlindungan sosial menguatkan rasa kebersamaan yang menjadi inti naratif negara-bangsa.

Malaysia Madani, sebagai kerangka nilai kontemporari, boleh dibaca sebagai usaha menyelaraskan semula etika awam dengan kecekapan pentadbiran. Nilai belas, amanah dan ihsan hanya bermakna apabila diterjemahkan dalam reka bentuk dasar yakni data terbuka yang membolehkan akauntabiliti, penyertaan bermakna warga dalam proses membuat keputusan, dan keupayaan kerajaan bertindak balas terhadap maklum balas masyarakat.

Dalam pandangan “patriotisme perlembagaan”, kesetiaan bukan kerana identiti etnik, tetapi kerana keyakinan terhadap institusi yang adil di mana mahkamah yang bebas, media yang bertanggungjawab dan agensi yang bebas daripada rasuah. Jika Hari Malaysia hendak mengangkat semula inspirasi 1963, maka ia perlu menegaskan kesediaan kita menambah baik mutu institusi, bukan sekadar merayakan simbol.

Pendidikan sejarah yang matang wajar menolak dua ekstrem – glorifikasi tanpa kritik dan kritik tanpa kasih. Naratif pembentukan Malaysia harus jujur tentang kaedahnya, tawar-menawar identiti, kegagalan dan keberhasilan dasar, saat gelap dan saat pencerahan kerana warga dewasa hanya akan mencintai negara yang dilihatnya benar, bukan yang digambarkan sempurna.

Dalam semangat itu, bahasa kebangsaan menjadi medium utama iaitu penguasaan yang baik membuka pintu mobiliti dan penglibatan penuh, sementara pengiktirafan kepada bahasa ibunda mengekalkan akar budaya yang menyuburkan kreativiti nasional.

Demikian juga dengan agama – Islam sebagai payung persekutuan menuntut keadilan sebagai nilai teras dan jaminan kebebasan beragama bukan konsesi, tetapi syarat aman damai yang bertanggungjawab.

Ekonomi politik perpaduan tidak boleh diabaikan. Proses pertumbuhan sering mekar di tanah yang subur dengan ketidaksamarataan. Dasar pengagihan peluang, akses kepada pekerjaan bernilai tambah dan sokongan kepada perusahaan kecil serta ekonomi digital mesti dinilai bukan sahaja pada hasil, tetapi pada rasa keadilan dalam prosesnya.

Apabila orang ramai percaya proses itu adil, walaupun keputusan sesekali tidak memihak kepada yang berharap, mereka akan terus komited kepada sistem.

Itulah asas “kesetiaan rasional” yang mengukuhkan negara-bangsa. Dalam kerangka itu juga, sistem persekutuan berfungsi apabila permindahan kuasa dan tanggungjawab dari kerajaan persekutuan disertai kapasiti pentadbiran di peringkat negeri dan tempatan serta mekanisme audit khalayak yang jelas.

Hari Malaysia ialah latihan mengingati sambil membayangkan. Mengingati bahawa 1963 mengajar kita bahawa kesatuan memerlukan pemahaman yang jelas, institusi yang dihormati dan kepercayaan yang dipupuk.

Membayangkan bahawa dekad akan datang menuntut warganegara yang celik data dan celik hati, yang menilai wacana berdasarkan bukti dan adab, yang menolak politik amarah segera dan memilih politik pembaikan sabar.

Menjaga Malaysia yang harmoni bukan projek kerajaan semata-mata, tetapi amalan berjuta-juta insan setiap hari, dalam ratusan keputusan kecil yang mengumpul menjadi budaya kebangsaan.

Jika pembentukan Malaysia bermula daripada perjanjian, kelangsungannya bergantung pada keinsafan bahawa kita saling memerlukan, bahawa undang-undang ialah pagar bersama dan setiap manusia di tanah ini ialah asas sebenar kemuliaan sebuah negara.

Dengan kesedaran demikian, Hari Malaysia bukan hanya ulang tahun, tetapi haluan yang menuntut kita keluar daripada godaan perpecahan menuju kematangan sebuah negara-bangsa.

Selamat Hari Malaysia!

* Dr. Haji Ainol Amriz Ismail merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img