Malaysia sedih hulur bantuan kepada Indonesia tangani kebakaran hutan – Zahid

MALAYSIA bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas di negara itu, susulan keputusan Presiden Prabowo Subianto meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia menghargai keterbukaan kerajaan Indonesia menerima bantuan asing, dalam usaha menangani kebakaran berkenaan.

Beliau berkata walaupun bantuan yang ditawarkan Malaysia mungkin kecil, pentadbiran Putrajaya tetap bersedia membantu negara jiran itu atas semangat persahabatan dan hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan Indonesia dan Prabowo, kerana terbuka menerima bantuan asing untuk menangani kebakaran hutan. Walaupun pertolongan yang kita tawarkan kecil, Malaysia bersedia menghantar bantuan bagi membantu negara jiran kita,” katanya dan menambah Malaysia menghargai keterbukaan Probowo dalam perkara tersebut.

Ahmad Zahid  berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada sesi minum petang, sebelum berlepas pulang selepas menamatkan lawatan kerja lima hari ke China hari ini, lapor Bernama.

Terdahulu, Menteri Luar Indonesia Arrmanatha Nasir dilaporkan berkata cadangan bantuan daripada negara jiran telah mendapat kelulusan Prabowo dan kini dalam perbincangan teknikal bagi menentukan pengaturan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, Arrmanatha tidak memperincikan negara yang menawarkan bantuan atau bentuk bantuan yang sedang dipertimbangkan.

Malaysia sebelum ini menawarkan untuk mengatur gerak sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan 52 anggota, bagi membantu Indonesia menangani kebakaran tersebut.

Pada 19 September, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa Prabowo telah menerima tawaran berkenaan ketika pertemuan mereka di Hambalang, Jawa Barat, pada 18 Sept.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here