Malaysia sokong inisiatif Pakistan jadi tuan rumah dialog AS-Iran

MALAYSIA mengalu-alukan tawaran Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif untuk menjadi tuan rumah dialog antara Amerika Syarikat dan Iran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  hubungan Pakistan dengan pihak-pihak berkepentingan, serta kedudukannya sebagai suara yang dipercayai dalam dunia Islam, meletakkannya pada posisi kukuh untuk membantu mewujudkan keadaan yang kondusif bagi rundingan bermakna.

‘’Malaysia menyokong inisiatif ini dan menggalakkan khususnya Amerika Syarikat dan Iran untuk memberi respons dalam semangat yang sama seperti yang ditawarkan.

‘’Saya mengambil maklum dengan harapan berhati-hati terhadap isyarat, walaupun belum lengkap, yang menunjukkan masih terdapat ruang untuk diplomasi. Ruang tersebut perlu dimanfaatkan dengan penuh kesungguhan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, sebarang rundingan mesti dijalankan berasaskan niat yang tulen: komitmen jelas untuk menamatkan konflik, bukan sekadar menguruskan tempo konflik demi kelebihan taktikal.

‘’Komuniti antarabangsa telah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang berfungsi sebagai jeda sementara, bukannya penyelesaian muktamad. Rantau ini berhak mendapat sesuatu yang lebih berkekalan,’’ katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan semula pendirian Malaysia berkaitan hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya seperti yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya dalam menghadapi serangan berterusan Israel di negara itu dan di Lubnan.

‘’Pada masa yang sama, semua pihak diseru agar mengamalkan tahap kawalan diri yang maksimum serta memastikan penduduk awam dan infrastruktur negara jiran, khususnya negara-negara Teluk, tidak terus terheret ke dalam konflik yang bukan pilihan mereka,’’ katanya.

Beliau berkata, negara-negara Teluk, rantau ini dan dunia mempunyai banyak kepentingan yang dipertaruhkan — dari segi ekonomi, sosial serta kestabilan jangka panjang — dan rakyat mereka tidak seharusnya menanggung akibat daripada keputusan yang dibuat oleh pihak lain.

‘’Adalah juga membimbangkan apabila sebahagian pihak yang paling lantang memperjuangkan sistem antarabangsa berasaskan peraturan dilihat mengamalkannya secara tidak konsisten.

‘’Undang-undang antarabangsa tidak boleh digunakan secara terpilih. Ia tidak boleh melindungi satu pihak daripada pertanggungjawaban sambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri. Kredibilitinya bergantung kepada konsistensi,’’ katanya.

Anwar berkata, dalam beberapa hari kebelakangan ini, beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pemimpin Majlis Kerjasama Teluk, Türkiye, Mesir, Indonesia, Jepun, Pakistan dan rakan-rakan lain bagi memahami situasi dengan lebih mendalam serta menggesa usaha meredakan ketegangan.

‘’ Malaysia akan terus menyokong setiap usaha yang berwibawa ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img