ANALISIS
NEGERI Melaka dan Johor merupakan dua negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO secara mutlak dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 2021.
Kemenangan dalam PRN itu membolehkan BN menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN manakala selebihnya Pakatan Harapan-PH (5 kerusi) dan Perikatan Nasional-PH (2 kerusi).
Bagaimanapun apabila BN membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH menubuhkan Kerajaan Perpaduan pada 2022 selepas PRU-15, polemik mula tercetus apabila pemimpin PH khususnya PKR meminta supaya ‘rundingan strategi pilihan raya’ di Melaka dijalankan sebaik sahaja PRN Sabah selesai.
Ketika membuat gesaan itu Ketua PKR Melaka Shamsul Iskandar Akin berkata, rundingan pembahagian kerusi tidak wajar dilengahkan memandangkan DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 26 Disember 2026.
Bagaimanapun kenyatan Shamsul yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dijawab oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh hari ini yang menegaskan, ‘’hanya dua kerusi DUN boleh dirunding sekiranya jika BN-PH bekerjasama dalam PRN Melaka”.
Dua kerusi itu ialah Bemban dan Sungai Udang yang ketika ini disandang Perikatan Nasional (PN).
“Tak perlu pening kepala, kerusi yang BN menang kekal… hanya dua kerusi saja boleh bincang. Kalau tak setuju, kita lawan. PRN Melaka dulu pun tiga penjuru, walaupun ketika itu kerajaan pusat (BN dan PN) bersama pada 2021,” katanya sambil menegaskan fokus utama ketika ini sepatutnya mengenai usaha membantu rakyat.
“Bukan sibuk nak bahagikan kerusi. Biar rakyat tentukan siapa yang mereka mahu dan jika berlaku pertembungan antara BN dan PH, parti yang menang berhak menentukan pembentukan kerajaan termasuk pelantikan ketua menteri. Kalau PH menang majoriti kerusi, mereka layak menjadi ketua menteri,” katanya.
Sejarah politik Melaka menunjukkan sejak merdeka sehingga kini hanya sekali sahaja kerajaan negeri itu diperintah oleh parti dari bukan komponen BN iaitu PH pada Mei 2018 hingga Mac 2020 selama 22 bulan selepas memenangi PRU-14.
Bagaimanapun kerajaan negeri yang dipimpin Adly Zahari dari Parti Amanah Negara (komponen PH) tumbang pada Mac 2020 berikutan krisis politik yang melibatkan ADUN bertukar parti dan menarik sokongan. Selepas itu, kerajaan baharu dibentuk oleh gabungan BN dan PN), yang seterusnya membawa kepada PRN Melaka pada November 2021.
Berikutan kerjasama PH-BH di peringkat pusat, PH Melaka cuba membawa semangat yang sama kerana mereka mengetahui jika kedua-dua parti itu bergabung di negeri Hang Tuan tersebut, mereka akan menang besar.
PH mahu pembahagian kerusi dilakukan kerana mereka percaya UMNO dan BN boleh membantu mereka ‘menerobosi’ kawasan-kawasan pengundi Melayu yang ketika ini sukar bagi parti tersebut.
Namun penulis difahamkan UMNO sama sekali tidak akan melepaskan kerusi miliknya kepada PH, sebaliknya akan mempertahankan kesemua yang dimenanginya. Malah kemungkinan besar kerusi DUN Bemban dan Tangga Batu yang dikuasai PN turut akan ditandingi oleh UMNO kerana ‘itu kawasan tradisi UMNO’.
Penulis percaya walaupun kini sudah bersama PH, UMNO tidak akan sesekali melepaskan Melaka kepada sekutu mereka.S ememangnya pendirian itu adalah tindakan yang wajar kerana tanpa PH pun BN boleh menangi 21 kerusi.
Selain itu juga, hanya Melaka dan Johor sahaja negeri milik UMNO.Negeri-negeri lain sudah berada dalam genggaman PH dan PN (Pas). PH menguasai Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan membantu UMNO menjadi Menteri Besar di Perak dan Pahang . PN pula menguasai Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Justeru UMNO perlu mempertahankan Melaka secara mutlak seperti mana UMNO Johor terus memerintah negeri itu tanpa mempedrulikan apapun tuntutan politik PH kecuali ‘ada arahan’ supaya Kerajaan Perpaduan diterjemahkan di kedua-dua negeri berkenaan. Jika itu berlaku belum tentu UMNO akan dapat mempertahankan Melaka sebagai kubu kuat parti itu.
UNDILAH |



