Mara ambil 2 anak Allahyarham Amirul Hafiz sebagai anak angkat

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) mengambil dua anak penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu kereta dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah kelmarin, sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran Mara.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengambilan itu bukan sekadar bantuan sementara tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela.

Menurut beliau, bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang juga akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan.

“Kepada adik Aqif dan Atif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga. Insya-Allah, Mara akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik.

“Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa, tetapi meninggalkan luka yang amat mendalam buat seluruh keluarga,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu pagi tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Faisalludin Mohamat Yusuff serta Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff mewakili Asyraf Wajdi mengadakan ziarah serta menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga mangsa.

“Saya sempat membuat panggilan video bersama ibu arwah, Puan Faridah tatkala ibu kepada anak-anak ini, Puan Nor Nadia Abdul Majid keluar untuk menyelesaikan urusan arwah.

“Dalam nada penuh sebak, beliau berkongsi bahawa arwah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga. Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang menunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang maut selepas dirempuh kereta Honda City dipandu suspek dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

Allahyarham meninggalkan tiga anak, dengan dua daripadanya sedang bersekolah dan seorang lagi baru berusia dua tahun.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img