’Marilah kita rapatkan saf, bersatu padu demi rakyat Sabah’’ – seruan Hajiji kepada pihak lawan lawan

DATUK Seri Hajiji Noor,70 yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal kedua awal pagi ini  menyeru kepada pihak lawan kembali merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu paduk.

“Marilah kita membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif, demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 di hadapan Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu  pada pukul 3.05 pagi ini.

Mengenai kemenangan GRS, beliau  menyifatkan ia sebagai kemenangan rakyat.

Sehubungan itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah atas mandat baharu diberikan kepada beliau untuk terus menerajui kepimpinan pentadbiran negeri.

“Kemenangan ini milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah lebih cerah.

“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.

“Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini,” katanya

Dalam pada itu, Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama meraikan kemenangan GRS dalam pilihan raya negeri kali ini, sebagai permulaan kepada bab baharu yang dipenuhi dengan tujuan dan tekad untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

Beliau berkata sejak awal, komitmen GRS adalah untuk memupuk perubahan dan kemajuan menerusi agenda pembangunan holistik dan inklusif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus menggerakkan pembangunan bermakna serta membina jambatan menyatukan dan bukan memisahkan.

“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu (Sabah United),” katanya.

Hajiji berkata komitmen penuh gabungan parti tempatan Sabah itu adalah untuk bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua rakyat Sabah.

“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai,” katanya yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman buat penggal kesembilan.

Beliau juga mahu semua rakyat Sabah bersama-sama kerajaan negeri, untuk terus bekerjasama sebagai rakan kongsi aktif dalam perjalanan memacu kemajuan negeri dengan perpaduan sebagai kekuatan, bagi memastikan kemenangan tersebut benar-benar membawa makna.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar istana, Hajiji secara ringkas berkata “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, selesai sudah saya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, terima kasih kita jumpa esok”.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img