PHIL Foden menjaringkan dua gol untuk menginspirasi kemenangan penuh dramatik 3-2 Manchester City ke atas Leeds, sekali gus mengangkat mereka ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris.
City dilihat bakal meraih kemenangan mudah apabila mereka mendahului 2-0 dalam 25 minit pertama. Foden hanya memerlukan 25 saat untuk membuka tirai jaringan, menyambut hantaran lintang Matheus Nunes dari sebelah kanan dan merembat bola yang terkena palang sebelum menerjah gawang. Hanya aksi bertahan cemerlang Jayden Bogle dan satu lagi percubaan diselamatkan Lucas Perri yang menghalangnya daripada menambah gol kedua lebih awal.
Namun, Perri kemudian melakukan kesilapan apabila menumbuk bola sepakan penjuru ke arah Nico O’Reilly, membolehkan Josko Gvardiol menyudahkannya ke gawang tanpa kawalan.
Leeds bangkit selepas rehat melalui kemasukan Dominic Calvert-Lewin. Beliau merapatkan jurang empat minit selepas babak kedua bermula, memanfaatkan kegagalan Nunes mengeluarkan bola. Penyerang itu kemudian dijatuhkan oleh Gvardiol pada minit ke-68 untuk memberikan Leeds sepakan penalti.
Nmecha gagal menyempurnakan sepakan tersebut apabila percubaannya mudah dibaca Gianluigi Donnarumma, namun beliau pantas menampan masuk bola lantunan untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Leeds terus memberikan tekanan hebat selepas itu, namun City kembali di depan melalui detik magis Foden. Beliau bijak melepasi kawalan Ethan Ampadu dan Ao Tanaka sebelum melepaskan rembatan kemas ke penjuru kiri bawah pada awal masa tambahan 10 minit.
Kemenangan itu memastikan City naik ke tangga kedua liga, empat mata di belakang Arsenal dan dua mata mengatasi Chelsea, menjelang pertemuan penting Ahad ini.
Erling Haaland, penyerang kelahiran Leeds yang memburu penampilan ke-100 Liga Perdana, terpaksa menangguhkan sasaran itu selepas aksi yang hambar — hanya satu percubaan, iaitu tandukan lemah tepat ke arah Perri pada minit ke-88. Ia juga rekod terendah percubaan beliau di Etihad dalam perlawanan penuh 90 minit.
Namun, Pep Guardiola boleh menarik nafas lega apabila Foden tampil menjadi penyelamat. Selepas menjaringkan gol terpantas City di Etihad sejak September 2019, bintang England itu sekali lagi muncul wira pada detik-detik terakhir.


