TEKANAN perasaan akibat masalah kewangan dipercayai motif seorang lelaki membunuh ibu kandung, isteri dan dua anak perempuannya di sebuah rumah di Taman Cerating Damai, di Kuantan pada 17 Februari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tragedi jam 7 pagi itu berlaku secara spontan sebelum suspek bertindak membunuh diri.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki berusia 32 tahun itu tidak berada di bawah pengaruh dadah atau mengalami penyakit mental.
Katanya, polis sudah merakam percakapan beberapa individu termasuk ahli keluarga, saudara-mara, jiran dan kenalan mangsa serta suspek untuk siasatan kes.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek digambarkan sebagai seorang yang merendah diri, peramah dan tidak agresif.
“Tekanan hidup hingga menyebabkan suspek kemurungan dipercayai berpunca daripada masalah kewangan dilihat sebagai motif utama kejadian.
“Ujian darah mendapati tiada kesan dadah atau penyalahgunaan bahan terlarang serta suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan sejarah penyakit mental,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.
Yahaya berkata, siasatan juga mendapati suspek terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum pembunuhan itu dan dikenakan saman trafik.
Menurutnya, siasatan kes belum ditutup dan polis sedang meneroka semua kemungkinan sekiranya terdapat petunjuk baharu.
Katanya, polis menggesa orang ramai supaya menghormati perasaan sedih keluarga mangsa dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial.
Suspek berusia 32 tahun sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Klang, Selangor sebelum pulang ke Kuantan bersama isterinya berusia 33 tahun dan dua anak perempuan berusia dua dan lima tahun, kira-kira sebulan lalu.
Difahamkan suspek menganggur seketika sebaik pulang ke rumah ibunya di Taman Cerating Damai sebelum mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, kira-kira seminggu sebelum kejadian.


