SEORANG pekerja Petronas Penapisan Melaka, maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain yang didakwa melawan arus di Jalan Sungai Udang berhampiran lampu isyarat Penjara Sungai Udang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada 7.50 malam.
Menurutnya, mangsa, Mohd Huzaimi Abdul Hamid, 44, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala.
Katanya, seorang lagi penunggang motosikal, Muhamad Arif Farhan Nawawi, 21, juga parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Melaka.
“Siasatan awal mendapati Mohd Huzaimi menunggang dari arah rumahnya di Taman Bertam Setia menghala ke arah tempat kerjanya di Penapisan Petronas Sungai Udang.
“Sejurus tiba di tempat kejadian motosikal mangsa bertembung dengan sebuah motosikal lain yang dipercayai ditunggang melawan arus,” katanya, lapor Harian Metro Online.
Christopher berkata, terdapat saksi yang melihat kemalangan itu dan sudah dirakam keterangan lisan oleh pegawai penyiasat serta diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


