Antara nasib Hamzah dan hala tuju politik Bersatu

KALAULAH  ibarat lima kelopak bunga yang menjadi lambang parti Bersatu sudah pastilah ‘bunga itu’ sedang diancam kelayuan berikutan pelbagai kemelut yang melanda parti tersebut sejak kebelakangan ini.

 Warna-warna yang menghiasi lambang Bersatu itu juga semakin tergugat. Warna putih bererti kesucian, keikhlasan dan keluhuran dalam perjuangan serta sifat amanah, jujur dan berintegriti yang mesti dimiliki oleh ahli-ahli parti manakala warna merah bererti keberanian, semangat patriotisme dan daya juang yang jitu.

Hakikatnya lambang merah dan putih itu tanpa disedari mula mengancam Bersatu. Merah ‘boleh bertukar’ menjadi ‘kad merah’ untuk menyingkirkan beberapa pemimpin yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti manakala ‘putih’ mampu menjadi ‘kain kafan’ yang akan membaluti ‘tubuh Bersatu’ apabila tiba masanya jika kemelut  tidak diselesaikan.

Mungkin apa yang penulis gambarkan agak melampau tetapi sama ada pemimpin Bersatu mahu mengakui atau tidak, Bersatu kini di ambang perpecahan yang hampir sudah tidak terbendung lagi. Tindakan merujuk beberapa pemimpin termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan kepada Lembaga Disiplin semakin menghuru-hara Bersatu.

‘Paling dahsyat’ turut dipanggil ‘bersembang’ dengan Lembaga Disiplin ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menerima notis tersebut ketika baru tiba di Kota Kinabalu pada Isnin  lalu.

Beliau diminta bertemu lembaga tersebut pada Rabu (semalam) tetapi Hamzah membuat keputusan tidak menghadirinya kerana mahu menyelesaikan tugas berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan parti, tambahan pula difahamkan tuduhan ke atas bekas Menteri Dalam Negeri itu dikatakan ‘sudah menjadi bahan jenaka’.

Tidak kira sama ada tuduhan dikenakan ke atas Hamzah lucu atau tidak, serius atau tidak tetapi apa yang pasti ia akan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam Bersatu seterusnya akan menyebabkan ‘kelopak bunga’ Bersatu akan berguguran.

Ia kerana Hamzah adalah orang nombor dua dalam parti. Beliau diletakkan di situ tanpa pemilihan apabila ia dicadangkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jawatan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Walaupun ada yang ‘merajuk Cik Kiah’ tetapi ia akhirnya dilaksanakan dengan persetujuan ahli-ahli.

Tetapi sekarang Hamzah kemungkinan akan digantung, disingkirkan atau dipecat atas alasan-alasan yang sukar diterima oleh ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pemimpin bahagian dan ahli-ahli akar umbi.

Jika itu dilakukan sudah pasti Bersatu bukan lagi diseret malah sudah terjun ke dalam ‘kuburan politik’ ciptaannya sendiri.

Bukan rahsia lagi bahawa selama ini Hamzah lah ‘yang memastikan’ Bersatu terus bergerak sebagai parti politik khususnya apabila akaun-akaun Bersatu dibekukan sedangkan yang dianggap ‘melakukan pengorbanan besar’ untuk bersama Bersatu tidak berbuat apa-apa yang signifikan demi survival politik Bersatu termasuklah yang sentiasa beri alasan ‘aku tak ada duit’ apabila berbangkit soal perbelanjaan Bersatu.

Selama ini beliau mempunyai hubungan amat baik dengan Pas sehingga dikatakan mereka mahu Hamzah yang menjadi calon Perdana Menteri. Itu kata orang dalam Pas.

Ada yang bertanya apakah tindakan ke atas Hamzah ada kaitan dengan ‘pengorbanan yang terpaksa dilakukan’ bagi melancarkan ‘perjalanan politik’ Bersatu selepas ini? Atau kerana Hamzah sudah membayangi calon PM… Sekali lagi semua itu hanya andaian.

Penulis memaparkan semua ini bukanlah mahu menyebelahi Hamzah secara membuta tuli tetapi untuk mengingatkan pemimpin-pemimpin Bersatu jangan terperangkap dengan mainan politik dalaman yang akan menghancurkan Bersatu.

Sejarah politik negara membuktikan pertembungan melibatkan orang nombor dua dalam parti kebiasaannya mendatangkan kemudaratan kepada parti terlibat. Apatah lagi jika individu nombor dua itu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan urusan dan masalah dalaman  parti ketika pemimpin lain hanya  mahu ‘melihat’ segalanya sudah ‘beres’.

Sepatutnya, Bersatu menyiasat dakwaan-dakwaan  berkaitan ada pembocor maklumat parti kepada parti lawan dan terbaru dakwaan Wan Saiful Wan Jan bahawa ‘’ ada orang tertentu bertemu parti lawan bincang sesuatu’.

Malah penulis sendiri beberapa kali terdengar cakap-cakap dari sumber-sumber di luar Bersatu bahawa kemungkinan Bersatu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Mungkin ia sekadar cakap-cakap,  mungkin juga ia sekadar tohmahan tetapi apabila Wan Saiful menyatakan sesuatu yang agak mencurigakan, Bersatu sepatutnya siasatlah benarkah dakwaan itu,  siapakah yang menjadi ‘broker’ bagi menjayakan pelan tersebut? Jika ia sekadar tohmahan, Bersatu buat satu kenyataan rasmi tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Adakah hasrat bekerjasama itu salah? Sudah pasti tidak! Cumanya kalau betul ada atau tidak, kepimpinan parti perlu berterus terang kepada ahli-ahli bersuaian dengan maksud warna putih Bersatu iaitu ‘sifat amanah, jujur’ supaya ia tidak mewujudkan persepsi.

Kalaulah dakwaan itu tidak betul maka tumpulah perhatian bagi memperkukuhkan parti dan Perikatan Nasional khususnya dalam hubungan dengan Pas yang khabarnya ‘agak dingin’ apabila tercetusnya soal calon Perdana Menteri.

Peranan Pas dalam Perikatan Nasional amat penting. Pas menjadi penentu kepada masa depan politik gabungan itu. Justeru kalau Pas kata ‘jangan buat, tak payah la buat’, kalau Pas ‘kata tak mahu, ikut sajalah’. Itu bukan bermaksud Bersatu ‘membenarkan musuh masuk dalam rumah’ tetapi tindakan Pas berdasarkan fakta.

Apabila Pas memberi isyarat secara lembut menolak Muhyiddin sebagai calon PM, Bersatu sepatutnya akur bukannya mahu terus mempertahankan bekas Perdana Menteri itu yang sepatutnya ‘berehat atau meletakkan jawatan’ bagi membersihkan namanya di mahkamah berikutan pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa dihadapi beliau.

Bukankah sebelum ini beberapa ahli politik berbuat demikian antaranya ada yang didesak oleh pemimpin Bersatu sendiri?

Sebelum ini disebabkan kes mahkamah Wan Saiful meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu manakala Syed Sadiq Syed Abdul Rahman berundur sebagai Presiden Muda. Bertindak demikian bukanlah bererti bersalah tetapi untuk mengelakkan ia menjadi modal kepada parti lawan serta membolehkan tumpuan diberikan kepada kes yang dihadapi.

Bagaimanapun jika Muhyiddin mahu terus bertahan, tidak mengapa tetapi pastikan Bersatu kembali aman tenteram. Usah biarkan kelopak bunga Bersatu semakin layu dan hanya menanti masa untuk gugur tetapi kalau pokok bunga itu dipertahankan mungkin bunga akan segar semula. Namun jika ada hasrat untuk ‘menanam pokok itu di halaman lain’ dan meninggalkan halaman sedia ada’ tidak tahulah.

Janganlah parti itu membuat keputusan ibarat ‘Itik emas disembelih, itik kuning mainan disimpan’ –Hayatilah warna putih lambang Bersatu ‘’ kesucian, keikhlasan dan keluhuran dalam perjuangan’ dan laksanakanlah ‘’ sifat amanah, jujur dan berintegriti’… Walaupun penghayatan itu dari semasa ke semasa sekadar retorik dalam parti…itu orang kata la.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img