IDENTITI mayat lelaki yang ditemui dalam beg dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan yang diikat di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Khamis telah dikenal pasti.
Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, 31 yang bekerja sebagai ejen insurans sebelum ini dilaporkan hilang sejak 8 Oktober lalu selepas dia dikatakan keluar ke Perlis atas urusan kerja dan tidak dapat dihubungi.
Berikutan itu, bapa mangsa yang berusia 69 tahun dan bekerja sebagai peniaga tampil membuat laporan polis.
Bapa mangsa dilihat hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, di sini kira-kira jam 9 pagi, pada Jumaat untuk melakukan proses pengecaman mayat.
Lelaki warga emas itu kelihatan sebak sebaik keluar daripada bilik mayat dan hanya mengangguk kepada ahli keluarga serta kenalan bahawa mayat tersebut adalah anaknya, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun beliau enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media dan turut memohon agar wajah ahli keluarganya tidak dirakamkan ketika berada di hospital.
Semalam mayat seorang lelaki dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan yang diikat ditemui disumbat di dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung identiti mayat lelaki berkenaan.


