Seorang remaja berusia 16 tahun merupakan antara dua orang yang terbunuh selepas kerana dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 1.45 pagi dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam gaung di tepi jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 23 tahun yang bekerja di sektor swasta dan seorang penumpang lelaki berumur 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, dua lagi penumpang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an pula cedera di kaki dan tangan sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati terutama ketika melalui kawasan berbukit atau berselekoh,” katanya.



