SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengesan dan menumpaskan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base Transceiver Station – Fake BTS) di Genting Highlands, baru-baru ini.
MCMC berkata, kejayaan operasi ini adalah hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian berterusan oleh MCMC yang mengenal pasti gangguan perkhidmatankomunikasi serta penyebaran SMS berunsur penipuan kepada pengguna.
‘’Berdasarkan risikan teknikal tersebut, satu operasi lapangan telah dirancang dan dilaksanakan secara bersepadu bersama sebuah syarikat telekomunikasi. Lanjutan itu pada 19 Januari, pasukan MCMC berjaya mengesan dua buah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu,’’ kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan (scam) kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang.

‘’Peralatan Fake BTS dan peranti kawalan telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
‘’Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya sekali.
‘’Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga (3) tahun, atau kedua-duanya sekali, ‘’ kata MCMC.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara.
‘’Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara,’’ kata kenyataan tersebut.


