Membaca maksud ‘Alhamdulillah’, “Insha-Allah’ di sebalik pertemuan Muhyiddin-Samsuri

APABILA Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman memaparkan gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Samsuri Mokhtar pelbagai spekulasi mula bertebaran.

Ia semakin hangat memandangkan setakat ini belum ada kata putus siapakah bakal menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang dilepaskan oleh bekas Perdana Menteri itu baru-baru ini.

Walaupun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan baru-baru ini parti itu akan menerajui PN namun beliau tidak menyatakan siapakah akan menjadi Pengerusi gabungan tersebut selepas memberi gambaran beliau sudah uzur untuk jawatan berkenaan.

Samsuri dikatakan mengunjungi Muhyiddin dengan membawa mandat Abdul Hadi. Semua orang berteka-teka apakah mandat itu, adakah Hadi mahu Muhyiddin menarik balik peletakan jawatan beliau atau adakah mandat itu bagi memaklumkan Samsuri akan menggantikan Muhyiddin?

Ditanya oleh Malaysiakini, Syahir menjelaskan pertemuan Muhyiddin dan Samsuri hanyalah pertemuan santai, manakala mesyuarat PN akan menyusul dalam masa terdekat.

“Kita akan adakan mesyuarat penuh (PN) dalam masa terdekat. Hari ini casual meeting selepas Tan Sri Muhyiddin baru pulang dari UK.

“Dr Sam bertemu Tan Sri Muhyiddin atas mandat tok guru Presiden (Abdul Hadi Awang). Selebihnya kena baca apa di sebalik Alhamdulillah dan Insya-Allah,” katanya.

Apakah senario pertama  ‘Alhamdulillah’ itu bermaksud Muhyiddin menarik balik peletakan jawatan beliau dan ‘insya-Allah’ itu bermaksud beliau sedia kembali menggalas tugas sebagai Pengerusi PN?

Lagipun hari ini Institut Masa Depan (MASA) menyatakan berdasarkan kajiselidik dijalankan, untuk calon PM selepas PRU-16, Muhyiddin mendahului 46%, Datuk Seri Anwar Ibrahim 16%. Muhyiddin juga mendapat sokongan tertinggi dalam kalangan responden Melayu sebanyak 56%,Cina 34% dan India 4%.

Atau adakah senario kedua maksud ‘Alhamdulillah’ itu bermaksud, Muhyiddin merestui Samsuri menjadi Pengerusi PN dan ‘Insha-Allah’  bermaksud Samsuri akan melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan bimbingan Majlis Presiden termasuk Muhyiddin?

Sebenarnya tidak kisahlah mana satu pun senario tersebut kerana kedua-dua bukan kejutan. Ia kerana dulu ‘Alhamdulillah’ Muhyiddin pernah membatalkan hasrat untuk berundur sebagai Presiden Bersatu dan ‘insha-Allah’ beliau akan memimpin Bersatu sehingga PRU-16.

Kalau senario kedua, ‘Alhamdulillah’ Muhyiddin berjiwa besar untuk menerima Pas yang memiliki kerusi terbanyak di Parlimen berbanding Bersatu menerajui PN dan ‘Insha-Allah’ Samsuri akan menjadi Pengerusi PN.

Lagipun Samsuri dianggap calon paling layak dalam kalangan muka baharu pemimpin PN untuk menerajui gabungan itu. Biarpun memegang jawatan Naib Presiden Pas tetapi beliau dianggap ‘calon jalan tengah’ kerana kalau memilih Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mungkin ada yang tidak puas hati, biarpun beliau adalah Ketua Pembangkang. Siapa yang tidak puas hati itu…tidak sukar menekannya.

Sememangnya pelbagai spekulasi dibuat, tidak kisah sama ada senario pertama akan berlaku atau senario kedua yang akan terjadi, pasti akan ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju.

Tetapi apa yang penting tidak kira siapapun yang menjadi Pengerusi PN, beliau bertanggungjawab untuk memulihkan semula imej gabungan berkenaan berikutan apa yang berlaku di Perlis.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img