ANALISIS
FIKIRAN ganas dan jiwa pembunuh serta tekad melaksanakan misi menghapuskan penduduk Palestin ternyata tidak pernah lenyap dalam diri pelbagai golongan di Israel.
Daripada menteri hinggalah rakyat biasa, mereka mempunyai satu matlamat yang sama iaitu memastikan rakyat Palestin tidak ada lagi di muka bumi Allah ini. Atas sebab itulah mereka berasa kecewa dan berang apabil Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesyorkan pelan damai yang mengandungi gencatan senjata.
Melalui pelan damai itu juga, pertukaran tahanan dilakukan.Hamas dikehendaki membebaskan 20 tahanan masih hidup dan memulangkan 28 mayat rakyat Israel. Manakala Israel pula membebaskan lebih 2,000 tahanan Palestin.
Setakat hari ini, Hamas sudah melunaskan janji apabila memulangkan 20 tahanan hidup dan 28 mayat tahanan.
Sejak awal lagi, semua boleh menjangkakan apabila Hamas sudah memenuhi tuntutan tersebut ia sebenarnya meletakkan Gaza dalam bahaya, apabila Israel merasakan mereka tidak memerlukan apa-apa lagi dari wilayah tersebut.
Oleh itu rejim Zionis boleh meneruskan pembunuhan beramai-ramai mereka ke atas rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel yang juga penjenayah antarabangsa, Benjamin Netanyahu cuba mencari pelbagai alasan bagi membolehkan mereka melancarkan serangan tanpa dituduh melanggar gencatan senjata.
Ia sudahpun dilakukan apabila setakat ini ia menyaksikan lebih 100 orang terbunuh akibat serangan rejim Zionis. Bagaimanapun Trump dan AS tidak menuduhpun Israel mencabul gencatan senjata.
Dalam perkembangan terbaru semalam, Menteri-menteri, wartawan, dan penganalisis Israel kini mendesak kerajaan negara itu supaya meneruskan semula tindakan genosid di Gaza, dengan alasan bahawa semua tahanan tentera Israel telah dibebaskan.
Desakan ini muncul selepas seorang pegawai dan seorang askar Israel terbunuh serta beberapa yang lain cedera di Rafah, selatan Gaza, pada Ahad.
Menteri Pendidikan Yoav Kisch memberi bayangan bahawa gencatan senjata itu mungkin akan runtuh tidak lama lagi. “Perjanjian ini mungkin menuju kepada kegagalan sepenuhnya, atau mungkin tidak,” katanya.
“Kami akan menyerang dengan keras. Kini, apabila tiada lagi tebusan yang masih hidup di Gaza, tentera mempunyai kurang sekatan.”
Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben Gvir pula lebih terus terang. “Sebab-sebab untuk tidak meneruskan perang dan membuka pintu neraka ke atas Gaza kini sudah tiada,” katanya.
Ben Gvir mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah beberapa kali meyakinkannya bahawa “perang ini tidak akan berakhir sebelum Hamas dihapuskan sepenuhnya.”
Netanyahu, yang kini berdepan tuduhan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dilaporkan memberitahu Ben Gvir bahawa matlamatnya adalah “bukan sekadar menghukum para pengganas, tetapi untuk memusnahkan gerakan Hamas sepenuhnya.”
Brigedier Jeneral (Bersara) Dedi Simchi, bekas komander Kor Isyarat dan Penyelamat Israel, berkata: “Kita telah memulihkan semua tebusan yang masih hidup. Sekarang kita boleh mengebom puluhan lokasi yang sebelum ini dilarang.”
Begitu juga Brigedier Jeneral (Bersara) Aharon Zini, bekas komander Briged Menashe di utara Tebing Barat, bersetuju: “Saya sepenuhnya menyokong pandangan Simchi. Kini kita boleh melakukan apa yang dahulu diharamkan, dan kita tidak akan berhenti sehingga kita menemui mayat mereka yang telah mati.”
Hakikatnya, Israel tidak pernah dan tidak mungkin akan mematuhi gencatan senjata atas sebab itulah mereka cuba mencari alasan untuk membunuh rakyat Palestin. Mereka tahu dunia tidak akan mampu berbuat apa-apa kerana AS akan sentiasa menyokong Zionis.
UNDILAH |