LEGENDA Argentina dan Barcelona, Lionel Messi mengakui masih menyimpan kerinduan mendalam terhadap kelab lamanya selepas berpeluang melawat Camp Nou yang sudah diubahsuai.
Bintang berusia 38 tahun itu meninggalkan Barcelona pada 2021 sebelum menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dan kemudiannya berpindah ke Inter Miami dua tahun kemudian.
“Malam tadi saya kembali ke tempat yang amat saya rindui. Tempat di mana saya begitu bahagia, di mana anda semua membuat saya berasa seperti insan paling gembira di dunia,” tulis pemenang lapan kali Ballon d’Or itu dalam laman Instagram miliknya.
“Saya berharap suatu hari nanti saya dapat kembali, bukan hanya untuk mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain kerana saya tidak pernah mampu untuk melakukannya…,” kata kapten juara dunia 2022 itu.
Messi meledakkan dua gol pada Sabtu bagi membantu Inter Miami mara ke pusingan seterusnya dalam saingan playoff Piala MLS.



