Kerajaan tidak berkompromi cubaan ceroboh perairan negara

KERAJAAN bertegas tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan pencerobohan perairan negara termasuk oleh pendatang tanpa izin atau aktiviti pemerdagangan manusia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa apabila berlaku insiden seperti kapal karam.

“Sama ada istilahnya pelarian, penyeludupan manusia atau pemerdagangan orang, tugas utama agensi penguat kuasa adalah untuk menghalang mereka daripada memasuki perairan negara.

“Namun, kalau dah berlaku insiden macam bot karam misalnya, kerja kita adalah menyelamatkan dahulu.

“Bila bot karam, kita biarkan dia (mangsa) mati lemas, itu zalim namanya, jadi kita selamatkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia (WDAT) di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Saifuddin berkata, Malaysia tetap komited melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dalam situasi kecemasan namun pada masa sama berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan dan keselamatan negara.

Mengulas mengenai insiden bot karam di Langkawi, beliau memaklumkan operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan meliputi kawasan pencarian kira-kira 250 batu nautika persegi.

Katanya fokus operasi ketika ini tertumpu sekitar lingkungan empat hingga lima batu nautika dari pesisir pantai negara dan semua mangsa yang ditemui, sama ada terselamat atau tidak, akan dibawa ke Pulau Langkawi.

“Pertama kita nak tahu sama ada mereka ada dokumen atau tidak, dokumen masuk ke negara ini atau dokumen pengenalan diri. Jika tiada, mereka akan dikategorikan di bawah kesalahan imigresen.

“Kemudian, kita akan kenal pasti negara asal dan siasat dari mana mereka mula belayar serta lokasi terakhir sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Dalam tragedi bot karam itu, enam lagi mayat imigran ditemukan terapung oleh pihak berkuasa Thailand di perairan sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa setakat ini seramai 26 orang termasuk 13 yang masih hidup.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img