CUBA lihat barang-barang ini …Barang kemas seberat kira- kira 3.2kg bernilai RM1.6 juta, 75 kepingan emas bernilai RM400,000, sebidang lot tanah, rumah, beberapa kenderaan mewah, pelbagai beg tangan dan 20 jam tangan berjenama bernilai RM100,000 serta wang tunai RM20,000. Itu tidak termasuk 70 akaun bank berjumlah kira-kira RM3.3 juta
Ini bukannya rampasan oleh Jabatan Narkotik Bukit Aman terhadap sindiket dadah atau sindiket pecah rumah TETAPI inilah barang-barang yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada enam individu termasuk lima pegawai Imigresen yang disyaki terlibat dengan sindiket ‘counter setting’.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, barang kemas itu antara barangan mewah yang disita hasil daripada penggeledahan menerusi Op Rentas.
Katanya, SPRM Selangor membuat sitaan terhadap pelbagai harta hasil wang rasuah dalam operasi pada 9 dan 11 Sept lalu.
“Pemilik barangan mewah itu adalah pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di lapangan terbang. Mereka dipercayai menerima wang daripada ejen-ejen sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, memetik FMT.
Sesungguhnya pendedahan oleh SPRM itu membuktikan betapa kronik masalah rasuah dalam Jabatan Imigresen memandangkan mereka menjadikan counter setting sebagai lubuk untuk mengumpul wang haram.
Lebih hebat lagi kata SPRM, ada pegawai imigresen membuka kedai emas melalui duit rasuah yang dikumpulkan. Namun wang haram tidak boleh dibersihkan dengan berselindung di sebalik perniagaan seperti itu atau menukarkannya dengan membeli kepingan emas.
Semua itu adalah ‘kerja bodoh’! Satu hari ia akan terdedah juga. Itulah yang berlaku apabila perbuatan jahat melalui sindiket counter setting itu terbongkar.
Sehingga 12 September lalu tidak kurang 49 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia ditahan kerana terlibat dalam kegiatan yang dianggap mengkhianati amanah negara itu. Mereka tidak berasa malu atau bersalah melakukan perbuatan tersebut kerana ‘sudah dirasuk’ dengan kilauan emas dan wang haram yang ‘berkepuk-kepuk’.
Jika pengedar dadah mengaut kekayaan dengan menjual dadah, apa bezanya dengan pegawai-pegawai imigresen yang ‘menggadaikan kuasa’ mereka dengan ‘melutut’ kepada sindiket counter setting demi mahu hidup mewah?
Melalui counter setting mereka membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang tidak sepatutnya. Inilah samalah juga dengan tindakan pengedar dadah yang menyeludup dadah masuk ke Malaysia? Kedua-duanya meletakkan negara dalam bahaya.
Oleh itu kepada SPRM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) banteraslah habis-habisan penjawat awam yang tidak amanah itu. Jangan berkompromi lagi!


