Mohd Shuhaily kembali ke PDRM – Saifuddin

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menamatkan penempatannya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat minggu lalu berikutan Mohd Shuhaily merupakan pegawai polis yang dipinjamkan ke agensi berkenaan.

“Dia adalah kader polis ke AKPS. Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohd Khalid Ismail) dah jelaskan.

“Jadi kita kembalikan dia pulang kepada pasukan polis dan pihak polis akan menyusulnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN, hari ini, lapor Harian Metro.

Semalam, Mohd Khalid dilaporkan berkata, status perkhidmatan Mohd Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.

Dalam kenyataan semalam, KDN memaklumkan urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

Ditanya mengenai individu yang bakal menggantikan Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS, Saifuddin hanya menjawab bahawa pengganti akan ditentukan oleh pihak polis.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota Cawangan Khas PDRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here