SEORANG kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Selangor maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Proton Exora di Kilometer 52 Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari itu, mangsa berusia 45 tahun yang menunggang Yamaha MT-09 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pemandu wanita berusia 59 yang memandu Exora dari arah Kuala Selangor menghala ke Teluk Intan.
“Sampai di lokasi kejadian, ketika membelok ke kanan kenderaan dipandu dirempuh motosikal mangsa dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat rempuhan itu penunggang motosikal tercampak di bahu kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di seluruh badan serta muka.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang Exora cedera di muka,” tambahnya.
Ujarnya, mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan dan mayat mangaa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.