PARTI MUDA menggesa Putrajaya menghentikan “putaran PR” (public relations spin) berhubung perjanjian dagang terbaru dengan Amerika Syarikat dan menyatakan perkara itu secara jujur — sebagai perjanjian penjajaran pasaran, bukan timbal balik sebenar.
Walaupun memuji usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan perjanjian yang lebih menguntungkan antara Malaysia dan AS namun Setiausaha Muda, Andre Teow, berpendapat perjanjian itu mengandungi kelemahan besar.
“Kami memuji Perdana Menteri kerana mendapatkan pengecualian tarif, serta mempertahankan dasar bumiputera dan standard halal. Tetapi walaupun sebahagian perjanjian menunjukkan kemajuan, kita mesti menyuarakan kelemahan besar yang mengancam kedaulatan Malaysia.
“Sebut saja perjanjian ini apa adanya — perjanjian penjajaran pasaran, bukan timbal balik sebenar. Rakyat mesti diberitahu perkara sebenar, bukan gimik PR (komunikasi awam),” katanya pada kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perjanjian berkenaan tidak benar-benar saling menguntungkan kerana Malaysia perlu mengurangkan tarif terhadap hampir semua barangan AS serta menerima standard kawal selianya, sedangkan AS mengekalkan tarif 19 peratus ke atas barangan Malaysia dan hanya memberi pengecualian apabila ia mahu.
Katanya, komitmen Malaysia pula bersifat mengikat, tetapi AS mempunyai lebih banyak kelonggaran untuk mengubah dasar pada bila-bila masa mengikut kehendak Washington.
Selain itu, beliau mendakwa Artikel 5.1 dalam perjanjian tersebut menggadaikan autonomi negara kerana menyekat keupayaan Malaysia merangka dasar luar dan dasar ekonominya sendiri tanpa campur tangan.
“Jika AS menyasarkan mana-mana negara atas alasan ‘keselamatan negara’, Malaysia dipaksa untuk mengikut sekatan mereka atau berdepan akibatnya.
“Klausa ini menjejaskan keupayaan kita untuk menetapkan dasar luar dan ekonomi secara bebas, memaksa Malaysia memilih pihak dalam konflik yang bukan urusan kita,” dakwanya.
Artikel 5.1 menetapkan bahawa jika AS mengenakan tarif, kuota, larangan atau langkah dagangan lain terhadap mana-mana negara bagi melindungi keselamatan ekonomi dan nasionalnya, Malaysia perlu mengambil tindakan sama atau bersetuju dengan garis masa untuk berbuat demikian.
Muda menuntut semakan Parlimen secara menyeluruh dan ketelusan sepenuhnya terhadap perjanjian itu serta menggesa kerajaan tidak berdalih.
“Mesti ada perbahasan Parlimen yang terbuka mengenai semua lampiran dan jadual sebelum pelaksanaan. Rakyat Malaysia berhak tahu apa sebenarnya yang dipertaruhkan.
“Kerajaan juga mesti menjelaskan bila dan bagaimana Malaysia harus mematuhi keputusan AS, dan sama ada kita boleh menolak jika kepentingan negara terancam,” kata Teow lagi.
Beliau menegaskan Muda bukan anti-Amerika tetapi menuntut hubungan yang benar-benar bersifat setara dan saling menghormati.
“Kami bukan anti-Amerika dan menyokong kerjasama bersama. Namun, kerjasama sebenar memerlukan rasa hormat, bukan menunduk. Malaysia mesti kekal sebagai tuan kepada masa depannya sendiri, bebas membuat pilihan dasar luar dan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Parti Amanah Negara menegaskan bahawa aspek kedaulatan dalam pensijilan halal Malaysia perlu dipertahankan dalam Perjanjian Dagang Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Presidennya, Mujahid Yusof Rawa, merujuk satu klausa perjanjian yang berbunyi: “Malaysia hendaklah memperkemas prosedur untuk pensijilan halal bagi eksport makanan dan pertanian AS, sambil mengekalkan kuasa kawal selia domestik.”
Menurutnya, Amanah mahu kerajaan memastikan segala urusan pensijilan halal kekal berada di bawah satu pihak berkuasa yang sah.
“Amanah menggesa kerajaan Malaysia berpendirian tegas supaya kedaulatan halal negara (halal sovereignty) dipertahankan di mana Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) kekal sebagai badan berautoriti tunggal sebagai penentu kepada segala produk makanan dan pertanian yang memasuki negara ini daripada AS.
“Malaysia hanya bersetuju untuk memperkemas prosedur import makanan dan pertanian (streamline), bukan bermakna melonggarkan standard halal yang sedia ada. Amanah berpandangan bahawa isu halal perlu dilihat melalui lensa Siyasah Syar‘iyyah — politik pentadbiran berasaskan hikmah dan maslahat,” katanya dalam kenyataan.


