Muhyiddin mampu elak ‘perang saudara’ dalam Bersatu

DALAM kenyataan media beliau semalam, tanpa menyebut nama sesiapa dan kes mana,  Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Lembaga Disiplin parti telah diberikan mandat penuh untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti.

Pengerusi Perikatan Nasional itu juga mengingatkan ‘’ Kita berada dalam perjuangan yang jauh lebih besar – memperkukuhkan Bersatu, memperkukuhkan Perikatan Nasional, dan membela kepentingan rakyat. Jangan sesekali kita biarkan cabaran dalaman mengalih perhatian kita daripada matlamat ini.’’

Semua orang boleh menjangkakan bahawa kenyataan Muhyiddin itu ‘mungkin’ merujuk kepada Wan Saiful Wan Jan. Baru-baru ini Ahli Parlimen Tasek Gelugor membuat sidang akhbar menjelaskan isi kandungan sebenar  akuan bersumpah (SD) berkaitan kedudukan Muhyiddin.

Satu pihak mendakwa ia usaha menjatuhkan Muhyiddin manakala satu lagi pihak kata ia mengandungi cadangan supaya Muhyiddin membuat perancangan untuk peralihan kuasa dalam Bersatu.  Selain itu kenyataan Muhyiddin juga mungkin ada kaitan dengan tindakan Wan Saiful membangkitkan soal Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Penulis bersetuju dengan jaminan Muhyiddin bahawa Lembaga Disiplin diberikan mandat penuh dan ‘membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti’. Ia amat penting kerana pergolakan Bersatu kini berada dalam kedudukan cukup genting.

Jika sebarang tindakan atau keputusan dibuat berdasarkan percaturan politik, percayalah ia akan mencetuskan ‘perang saudara’ yang Muhyiddin sendiri mungkin tidak mampu mengawalnya.Krisis yang berlaku lanjutan daripada kemunculan SD dan menamakan Muhyiddin sebagai calon PM telah memporak-perandakan Bersatu.

Khabar angin mengatakan sokongan terhadap Muhyiddin dalam Bersatu sudah berpecah dan tidak ‘sesolid’ dahulu bukan lagi auta tapi fakta, cakap-cakap bahawa berlaku perpecahan ‘berkem-kem’ dalam Bersatu adalah realiti bukan mimpi, dakwaan bahawa Pas tidak mahu Muhyiddin menjadi calon PM bukan lagi kata-kata fitnah tapi ‘penolakan secara berhemah.’’

Sebenarnya banyak lagi yang berlaku dalam Bersatu sehingga menyebabkan parti itu semakin melemah untuk menjadi parti Melayu terkuat dan  semakin terhakis rasa hormat kawan dan lawan.

Bersatu diketawakan, menjadi bahan jenaka, tidak lagi diharapkan mampu mengulangi kemenangan PRU-15, malah Bersatu dinilai sudah tidak layak menjadi parti tonggak Perikatan Nasional.

Malang sekali, ia terjadi ketika Bersatu disandarkan harapan untuk menerajui Perikatan Nasional menumbangkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional tetapi semuanya akan musnah jika krisis dalam Bersatu tidak dikendalikan dengan ‘ adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti’.

Kalau melihat riak-riak dalam Bersatu, penulis dapat menjangkakan akan berlaku pecat memecat, gantung menggantung yang seterusnya akan mencetuskan pergolakan yang mampu menghancurkan parti itu.

Atas sebab itulah Muhyiddin sebagai Presiden parti tidak harus hanya menyerah kepada Lembaga Disiplin membuat keputusan. Kalau dalam Islam, kita digalakkan mengambil kemudaratan kecil daripada kemudaratan besar.

Betul, soal disiplin tidak boleh berkompromi tetapi sebagai seorang yang dinamakan sebagai calon PM daripada Bersatu walaupun Pas tidak mahu membincangkannya, Muhyiddin perlu pastikan Bersatu tidak berkeceramuk. Apa salahnya kalau mereka yang terlibat khusus yang bertaraf ahli Parlimen dan pemimpin kanan dalam parti …kalau betul-betul bersalah…dipertimbangkan diberikan amaran sahaja bukannya digantung atau dipecat.

Sebagai seorang yang pernah dikecam kerana mengkritik Tun Abdullah Ahmad Badawi, dipecat kerana menegur isu 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan dianggap khianat dalam isu “Langkah Sheraton’  serta dikhianati oleh UMNO ketika menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin pasti lebih memahami bagaimana mahu mengendalikan situasi dalam Bersatu sekarang.

Dulu ketika menjadi Naib Presiden di zaman Allahyarham Abdullah, sebagai Timbalan Presiden UMNO di bawah Najib dan sebagai Presiden Bersatu ketika Dr.Mahathir menjadi pengerusi parti itu, Muhyiddin tentunya  boleh membezakan kenyataan dibuat seseorang pemimpin demi kebaikan parti atau peribadi, kebenaran atau hasutan, kenyataan atau rekaan.

Oleh itu Muhyiddin perlu memastikan   tidak salah langkah dalam mengendalikan krisis dalam Bersatu. Nilai setiap kenyataan itu dengan jiwa seorang pemimpin yang sudah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran demi memperjuangkan kebenaran. Jangan menganggap mengkritik itu mahu menjatuhkan, yang memuji  berhati suci.

 Apapun tindakan mahu dilakukan sama ada memecat atau menggantung  mana-mana pemimpin ia harus difikir semasak-masaknya. Ia kerana jika salah satu tindakan itu dilakukan, percayalah Bersatu pasti bergolak. Yang dipecat dan yang digantung tidak akan berdiam diri apatah lagi jika mereka ahli Parlimen.

Bersatu bukan sekuat mana, Bersatu diluluskan dan didaftarkan sepenuhnya pada 14 Januari 2017 dan paling penting Bersatu diasaskan oleh Muhyiddin selepas beliau dipecat daripada UMNO.

Kira-kira 15 bulan kemudian, UMNO menjadi tonggak Barisan Nasional tumbang dalam PRU 2018 selepas berkuasa selama 61 tahun dan sehingga ke hari ini UMNO tidak mampu bangkit semula.

Penulis imbaskan kembali sejarah politik itu untuk mengingatkan Bersatu bahawa UMNO yang kini berusia 78 tahun pun boleh mengalami kedudukan yang teruk apatah lagi Bersatu yang tidak sampai 10 tahun penubuhannya. Jangan teruja atau terus dibuai dengan nostalgia kejayaan dalam PRU-15 kerana semua itu sudah menjadi ibarat gambar dalam album, sekarang gambar disimpan dalam ‘gallery handphone’.

Begitulah perjalanan politik Bersatu, kalau Bersatu mahu terus bernyawa walaupun kini ‘semakin tersekat-sekat’, krisis yang berlaku harus diuruskan dengan sebaik-baiknya.

Jika perpecahan berlaku, jika ‘perang saudara’ tercetus, yakinlah Bersatu hanya akan tinggal sejarah. Orang Melayu akan berasa tawar hati menyokong Bersatu, Pas akan lemahkan semangat untuk  membenarkan Bersatu menjadi peneraju Perikatan Nasional manakala di peringkat akar umbi sokongan yang sebelum ini wujud disebabkan oleh Pas akan terhapus.

Masih belum terlambat untuk Muhyiddin memperbetulkan keadaan. Kalaulah Bersatu pun huru-hara, haru biru, berantakan bagaimana  Muhyiddin mahu menjadi calon PM?

Muhyiddin benar-benar perlu mengembalikan damai di dalam Bersatu dan bukannya menunggu sahaja apa keputusan Lembaga Disiplin. Mungkin Muhyiddin boleh menuding jari kepada orang itu, orang ini, orang sana, orang sini tetapi semua itu hanya akan berpatah balik kepada beliau ‘’siapa presiden?’’.

Sebagai Presiden Pengasas Bersatu dan ahli politik berpengalaman serta mempunyai banyak maklumat, penulis percaya Muhyiddin mampu ‘membuat keputusan dengan ‘adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti’ bagi mengelakkan ‘perang saudara yang sedang menanti di ambang pintu tercetus’.

Kalau ‘perang itu tercetus’  PRU-16 pasti menjadi ‘kuburan politik’ kepada Bersatu kecualilah kalau-kalau  demi survival, kepimpinan Bersatu melaksanakan langkah ‘sireh pulang ke gagang’ selepas ‘Langkah Sheraton’ sebelum PRU-16…apa maksudnya? Entah…tu yang orang dok cakap la…Tak apa nanti penulis tanya AI bukan AA.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img