DATUK Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau tidak menyangka ramai pemimpin Bersatu, termasuk 118 ketua bahagian menyokongnya selepas dipecat.
Keadaan itu kata bekas Timbalan Presiden Bersatu tersebut secara tidak langsung menunjukkan kepimpinan parti berkenaan tidak lagi mendapat sokongan ketua bahagian.
“Saya dapat tahu dah melebihi 60 bahagian yang dibubarkan.Kalau sayalah jadi presiden, walaupun saya adalah pengasas parti, tapi kalau dah ramai sangat berhenti, maka itu menunjukkan parti ini tiada lagi dokongan daripada pemimpin bahagian,’’ katanya lapor Sinar Harian.
Katanya, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin patut mencontohi Pengasas Umno Dato’ Onn Jaafar yang meletak jawatan Presiden selepas melihat ramai barisan kepimpinan parti tidak sehaluan dengan pemikirannya.
Mengenai kenyataan Muhyiddin yang menegaskan akan menolak beliau menyertai Perikatan Nasional (PN), Hamzah berkata;
“Dia kata saya tak boleh jadi ahli PN. Siapa dia nak tentukan? Saya nak tanya dia, kalau saya boleh jadi ahli PN, adakah dia akan berhenti?
“Kalau dia kata nak berhenti, saya akan cuba sedaya upaya menjadi ahli PN supaya dia boleh berhenti,” katanya


