Muhyiddin tak dijemput ke mesyuarat minggu depan, PN retak, Hamzah, Ronald berisiko dipecat?

HUBUNGAN antara Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) semakin tegang apabila Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijemput ke Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu bagi melantik pengerusi baharu.

FMT yang memetik seorang pemimpin PN berkata, sepatutnya masih dijemput ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada 29 Januari itu walaupun beliau telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Muhyiddin masih Presiden parti dan sewajarnya hadir dalam mesyuarat itu. Sebagai presiden parti, Muhyiddin secara konvensyen merupakan Timbalan Pengerusi PN,” katanya kepada portal berita tersebut.

Menurut surat yang dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, antara wakil Bersatu yang dijemput ke mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Datuk Ronald Kiandee.

Pemimpin PN lain yang turut dijemput ialah Presiden parti iaitu Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Dri. Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (MIPP). Hamzah, Hadi, Lau dan Punithan merupakan timbalan pengerusi PN.

Muhyiddin mengumumkan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 30 Dis.

Pengumuman itu dibuat susulan krisis politik di Perlis. Muhyiddin kemudian berkata bahawa beliau bersedia sepenuhnya untuk menyerahkan jawatan Pengerusi PN kepada Pas, namun Bersatu berpandangan penggantinya mestilah seorang Presiden parti.

Antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Menteri Besar Terengganu.

Laporan FMT  itu menimbulkan persoalan adakah tindakan tidak menjemput Muhyiddin itu bukan sahaja akan mengeruhkan hubungan antara Pas dan Bersatu tetapi juga boleh menjejaskan kedudukan Hamzah dan Ronald dalam Bersatu?

Ia memandangkan jika Bersatu tidak merestui tindakan Pas tidak memanggil Muhyiddin sebaliknya Bersatu diwakili oleh Hamzah dan Ronald, kemungkinan kedua-dua mereka akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat daripada parti.

Sebelum ini sudah tersebar khabar bahawa Hamzah dan Ronald yang dilihat ‘tidak sehaluan’ dengan Muhyiddin akan dipecat dan dikatakan juga tindakan itu sepatutnya dilakukan ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu baru-baru ini, bagaimanapun ia tidak berlaku.

Selain itu apa yang berlaku  juga akan menimbulkan tanda tanya sejauhmanakah kesepakatan dalam PN antara Pas dan Bersatu akan bertahan. Tidak mustahil juga jika Pas membuat keputusan meninggalkan gabungan jika Bersatu khususnya kem Muhyiddin masih menolak langkah Pas mencalonkan Tuan Ibrahim atau Samsuri sebagai Pengerusi PN.

Jika Pas meninggalkan PN gabungan itu dijangka terus disertai oleh Bersatu, Gerakan,MIPP dan kemungkinan besar MIC.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img