SEMUA juruterbang dan empat penumpang helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak, petang tadi, disahkan meninggal dunia.
Perkara itu disahkan Residen Miri, malam ini.
Borneo Post yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang, berkata kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter itu maut dalam nahas yang berlaku di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, saya belum dapat memberikan nama mangsa yang meninggal dunia ketika ini,” katanya dalam laporan itu.
Terdahulu, Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.
Lima mangsa dikenali pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul Baroah, selain penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.





