Noel dulu jadi pemandu Ojek tampung hidup, bila dilantik Timbalan Menteri ditahan terima rasuah …

 SEMBILAN tahun lalu iaitu pada tahun 2016, Immanuel Ebenezer atau lebih dikenali sebagai Noel hanyalah pemandu Ojek Online (Ojol) yang memerahkan keringat saban hari demi menampung kehidupan di Kota Jakarta.

  Setiap sudut Kota Jakarta, beliau jajahi untuk menghantar pembonceng-pembonceng dengan dikenakan bayaran tertentu.

Tiga tahun kemudian, beliau memulakan karier politiknya dengan menjadi sukarela Jokowi Mania (Joman) pada Pemilihan Presiden (PILPRES) 2019. Sokongan yang diberikan ternyata membuahkan hasil apabila beliau dikenali ramai.

Dan pada PILRES 2024, beliau melakukan percaturan politik bijak apabila menyokong gandingan Prabowo Subiato-Gibran Rakabuming Raka walaupun sebelum itu melontarkan sokongan kepada Ganjar Pranowo.

Berikutan sokongan yang diberikan melalui pembentukan Prabowo Mania 08, beliau dipilih menjadi calon legislatif untuk Parti Gerindra di Kalimantan Utara pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024.

Walaupun gagal dipilih untuk menjadi ahli Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), namun Prabowo yang menangi kerusi Presiden Indonesis melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Tenaga Kerja.

Perjalanan politik Noel yang agak menarik itu kini tersekat apabila Komisi Pembenterasan Korupsi (KPK) melancarkan operasi penahanan terhadap dakwaan berlakunya peras ugut dalam pengeluaran sijil K3 – Keselamatan dan Kesihatan Kerja.

 Pekerja  yang memohon sijil itu sepatutnya hanya membayar Rupiah 275,000 (RM71.10) sahaja tetapi mereka diugut membayar Rupiah 6 juta (RM1,551) jika mahu sijil tersebut diberikan.

 Menurut Ketua KPK Setyo Budiyanto, jika pekerja terlibat tidak mahu membayar kos itu, permohonan mereka akan dilambatkan atau disulitkan bahkan langsung tidak diproses.

 Setyo berkata, kes peras ugut itu telah berlaku sejak 2019 ketika Noel belum lagi menjadi anggota Kabinet. Bagaimanapun apabila menjadi Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Noel bukannya menghentikan perbuatan tersebut sebaliknya meminta habuan untuk dirinya.

“Dia tahu, dan membiarkan bahkan kemudian meminta (habuan). Jadi ertinya proses yang dilakukan oleh kesemua tertuduh (10 orang tak termasuk Noel) boleh dikatakan diketahui Noel,’’ katanya.

Beliau berkata selain menerima wang tunai Rupiah 3 miliar (RM775,630), Noel juga diberi sebuah motosikal Ducati.

‘’KPK mencatatkan kutipan melalui peras ugut itu mencecah Rupiah 81 miliar (RM21 juta) dan daripada jumlah itu Rupiah 3 miliar diberikan kepada Noel,’’ katanya.

 Selain Noel turut ditahan ialah 10 individu lain termasuk pegawai Kementerian Tenaga Kerja dan pihak swasta.

Dalam operasi tersebut, KPK menyita 15 kereta  dan 6 motosikal mewah, seperti Nissan GT-R, Toyota Corolla Cross dan  motosikal Ducati.

 Pada Januari 2025, berdasarkan Laporan Harta Kekayaan Penyelenggara Negara (LHKPN), Noel memiliki harta bernilai Rupiah 17.6 miliar (RM4.6 juta).

Dari segi gaji dan elaun sebagai Timbalan Menteri, Noel memperolehi kira-kira RM13,000 sebulan berbanding sebagai pemandu ojol mungkin sekitar Rupiah1 juta (RM25 sebulan).

Tetapi apa boleh buat kuasa dan kedudukan menyebabkan Noel seolah-olah lupa derita silamnya. Namun Noel tidak boleh dianggap bersalah, selagi mahkamah belum memutuskannya.

Kini Noel mengharapkan ehsan Prabowo untuk memberi pengampunan walaupun suatu ketika beliau (Noel) dengan lantang mahu penerima rasuah dihukum mati oleh pemerintah Indonesia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img